Sunday, August 24, 2014

Pesawat terkini


Alor Setar: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkukuhkan Pusat Latihan Terbang (PLTB) 1 di Kepala Batas, di sini, dengan menambah lima pesawat Pilatus PC7 Mk II bagi melahirkan lebih ramai juruterbang berkaliber pada masa depan.
Pertambahan pesawat latihan baru yang dipertingkatkan berkenaan bagi menampung 43 pesawat Pilatus PC7 sedia ada dan dijangka mula digunakan menjelang penghujung 2015.
Panglima Tentera Udara Tan Sri Rodzali Daud berkata, pihaknya menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menambah lima lagi Pilatus PC7 Mk II sebagai pesawat latihan terkini dan tercanggih bagi melahirkan juruterbang baru.

Menurutnya, lima pesawat baru itu dijangka akan diterima selewat-lewatnya Disember 2015 sebagai penambahan kepada pesawat latihan sedia ada di PLTB1.
Foto
RODZALI (kanan) merasmikan Majlis Ulang Tahun No 1 Flying Training Centre (1FTC) 1964-2014 di Lapangan Terbang Kolej Tentera Udara, Kepala Batas, semalam.

“Kita tiada masalah berkaitan isu pesawat, sebaliknya berdepan kekangan berikutan kawasan latihan terhad di Alor Setar, menyebabkan lebih banyak latihan untuk juruterbang baru dilakukan di sekitar Pulau Langkawi.

“Ini kerana aspek keselamatan adalah faktor penting dalam melatih juruterbang baru kerana PLTB1 yang berjaya melahirkan 1,200 juruterbang, terutama untuk TUDM, turut melatih jurulatih berbanding dihantar ke luar negara sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada sambutan jubli emas sempena ulang tahun ke-50 PLTB1 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, di sini, semalam.

Hadir sama bekas Panglima Tentera Udara Tan Sri Sulaiman Sujak dan bekas Pegawai Memerintah Pertama PLTB1 (1963-1966) John F Woodard.

Pada majlis sama, Woodard turut dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM). Selain itu, turut diadakan ialah pelancaran Buku Jubli Emas PLTB 1 dan pertunjukan udara oleh pesawat pejuang Sukhoi SU30MKM.

Sementara itu, Rodzali berkata, pihaknya juga dalam perancangan menggantikan khidmat helikopter Alouette yang berkhidmat sejak 52 tahun lalu dengan helikopter baru bagi melatih juruterbang.

“Helikopter Alouette kini dalam proses ditukar ganti dengan helikopter baru dalam tempoh terdekat juga,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

No comments:

Post a Comment