- Suwaiwatul terlantar kerana sakit kanser otak yang menyebabkan ketumbuhan mata dan hidung
Suwaiwatul Aslamiah Ismail, 30, menghidap kanser tahap empat sejak setahun lalu. Wanita itu menanggung banyak perbelanjaan terutama kos ulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Dia kini terlantar di rumah kedua ibu bapanya manakala suaminya, Zamzuri Mohd Yusoff, 35, hanya bekerja kampung dan memperoleh pendapatan RM500 sebulan. Sudah tentu dengan jumlah itu sekadar cukup untuk belanja makan sahaja.
Beban perbelanjaan itu bukan hanya untuk tambang pergi balik menerima rawatan di HUSM setiap minggu, tetapi juga perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan susu sebanyak RM2,000 sebulan.
Bapanya, Ismail Senik, 66, berkata, dia turut mengambil alih tugas menjaga dan menanggung perbelanjaan tiga anak Suwaiwatul yang berumur 7, 9 dan 11 tahun yang masih bersekolah.
Menurutnya, Suwaiwatul sebelum ini merupakan surirumah sepenuh masa dan tinggal berasingan di tanah rancangan yang sama.
“Tetapi selepas menghidap kanser otak setahun lalu dia terpaksa menumpang tinggal bersama kami bagi memudahkan penjagaannya,” katanya ketika menerima kunjungan pemimpin Umno bahagian kelmarin.
Antara pemimpin yang membuat kunjungan simpati itu ialah Bendahari Umno bahagian, Zamzani Harun; Ketua Penerangan Umno bahagian, Mohd Shahbuddin Hashim dan Ketua Umno Cawangan Bandar, Chiku Ab Aziz Abdullah.
Ismail berkata, penyakit kanser anaknya itu berpunca apabila Suwaiwatul mencabut sebatang gigi di sebuah klinik dan selepas itu gusinya mula membengkak sebelum mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Chiku.
Katanya, selepas itu dia dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dihantar ke HUSM Kubang Kerian dan diarahkan pulang kerana penyakitnya sukar diubati berikutan berada di tahap yang serius.
Menurut Ismail, perbelanjaan bagi menjaga anak perempuannya itu cukup tinggi sedangkan pendapatannya hasil daripada ladang sawit sekitar RM700 sebulan.
“Kami tidak kisah sangat pasal perbelanjaan itu, tetapi yang kami sedih sekali apabila melihat keadaan Suwaiwatul yang semakin kritikal dengan keadaan wajahnya yang tidak lagi seperti dahulu.
“Mata dan hidung dia tertutup dengan ketumbuhan dan saya mengharapkan ada pihak yang sudi menghulur bantuan,” katanya.
Sesiapa yang bersimpati dengan nasib Suwaiwatul boleh menghubungi talian 013-9776190 untuk memudahkan urusan menghulur bantuan.
No comments:
Post a Comment