Monday, September 1, 2014

1,000 guru agama, jurubahasa bantu jemaah haji


MEKAH 31 Ogos - Khidmat lebih 1,000 orang guru agama dan jurubahasa akan digunakan untuk membimbing jemaah haji dalam melaksanakan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Laman web, arabnews.com memetik wakil Kementerian Hal Ehwal Islam, Tawfiq Al-Sudairy yang berkata, bantuan kesemua individu itu akan digunakan dalam beberapa program dirancang kementerian bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan betul.
"Kementerian kini sedang merekrut 1,000 guru agama dan jurubahasa untuk program ini yang diuruskan oleh Suruhanjaya Kesedaran Islam untuk Ibadah Haji," katanya.
Program kesedaran ibadah haji itu melibatkan beberapa aktiviti termasuk sesi soal jawab dengan jemaah haji tentang pelbagai isu agama di Mekah dan Madinah serta di beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan jemaah.
"Mereka akan menggunakan banyak bahan dalam pelbagai bahasa bagi memastikan bimbingan yang berkesan ke atas para jemaah tentang ibadah yang betul," ujarnya.
Antara ahli suruhanjaya terbabit adalah wakil Kementerian Hal Ehwal Islam, Lembaga Penyelidikan Ilmu dan Ifta, Kementerian Haji, Universiti Islam Muhammad ibn Saud, Universiti Islam Madinah dan Universiti Umm Al-Qura.
Suruhanjaya berkenaan akan menilai peserta yang terlibat dari segi pencapaian akademik, kemahiran berkomunikasi dan pengalaman mereka.
Bagi peserta yang tidak mempunyai pengalaman, kelayakan dan kemahiran lain akan dipertimbangkan, manakala jurubahasa akan menemani guru agama ketika berurusan dengan jemaah haji dari negara luar.
Kementerian Hal Ehwal Islam turut menyediakan talian telefon percuma 24 jam bagi menjawab pertanyaan dalam aspek agama menggunakan pelbagai bahasa termasuk bahasa Perancis, bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140901/lu_05/1000-guru-agama-jurubahasa-bantu-jemaah-haji#ixzz3C0QOZFBU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment