Monday, September 1, 2014

Imran ‘ikrar’ terus protes


Islamabad: Pemimpin pembangkang Pakistan, Imran Khan semalam berikrar meneruskan protes terhadap kerajaan negara itu ‘sehingga titisan darah terakhir’.

Dalam pada itu, pertempuran berterusan membabitkan penyokong pemimpin itu dan polis di perkarangan kediaman perdana menteri menyebabkan tiga terbunuh manakala ratusan lagi cedera.


Keganasan tercetus malam kelmarin apabila ribuan penyokong Imran dan ulama pembangkang, Tahir ul Qadri cuba menyerbu kediaman Perdana Menteri Nawaz Sharif menggunakan kren untuk mengalihkan penghadang yang dibina.

Menjelang tengah hari semalam, pertempuran berterusan membabitkan polis antirusuhan dengan ratusan penunjuk perasaan.


Ramai dikalangan penunjuk perasaan yang hadir membawa senjata seperti kayu dan lastik.


Beberapa kenderaan dan kontena dibakar serta ratusan tembakan gas pemedih mata dilepaskan bagi menyuraikan perusuh yang berlarutan lebih 15 jam.

Tindakan penyokong pembangkang berarak ke Islamabad pada 15 Ogos lalu bagi menuntut Nawaz meletakkan jawatan mencetuskan krisis yang meningkatakan kemungkinan campurtangan tentera.

Mereka mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya 2013 yang membolehkan Nawaz dilantik menjadi perdana menteri, walaupun pemerhati tempatan dan antarabangsa menyifatkan pilihan raya itu sah dan adil.

Imran dalam ucapannya ketika protes berlangsung berkata: “Kini saya menyeru semua rakyat Pakistan bangkit dan menentang kerajaan pimpinan Nawaz.

Ia bukan kerajaan berdasarkan perlembagaan, mereka pembunuh. Kita akan teruskannya sehingga titisan darah terakhir, Saya seru seluruh rakyat Pakistan untuk bersama kami.”

Selain itu,Imran juga berkata, dia akan memfailkan tuduhan membunuh ke atas Nawaz berikutan keganasan kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

No comments:

Post a Comment