Monday, September 1, 2014

Situasi di Pakistan meruncing


POLIS rusuhan Pakistan mengejar penyokong Imran Khan dalam pertempuran berhampiran kediaman Nawaz Sharif di Islamabad, semalam. - AFP
ISLAMABAD 31 Ogos - Seku­rang-kurangnya tiga dilaporkan maut, manakala lebih 400 lagi cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di ibu negara Pakistan selepas kebuntuan politik selama dua minggu, bertukar menjadi ganas.
Keganasan itu yang bermula lewat petang semalam, berterusan awal hari ini selepas kira-kira 25,000 orang mula berarak dari bangunan Parlimen ke kediaman Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif selain mengalihkan sekatan pasukan keselamatan dengan menggunakan kren.
Tindakan penunjuk perasaan itu mengakibatkan polis bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata dan peluru getah,
Ketua Polis Islamabad, Khalid Khattak berkata, polis melaksanakan sekatan namun penunjuk perasaan bersenjatakan kapak, pemotong wayar dan tukul besi.
"Malah mereka turut mempunyai sebuah kren dan membawanya sehingga pintu masuk kediaman Perdana Menteri. Kami pula hanya menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan peluru getah bila diperlukan," kata Khalid.
Menteri Kereta Api Pakistan, Khawaja Saad Rafique berkata, penunjuk perasaan yang diketuai bekas bintang kriket negara ini yang menceburi politik, Imran Khan dan ulama terkemuka, Tahir-ul-Qadri cuba memecahkan pintu masuk kediaman Nawaz.
Penunjuk perasaan mula 'berkampung' di luar bangunan Parlimen sejak 15 Ogos lalu bagi menuntut Nawaz meletak jawatan berikutan dakwaan penipuan undi.
Krisis itu memasuki fasa baharu pada awal minggu ini, apabila kerajaan meminta tentera menjadi orang tengah hingga menimbulkan kebimbangan bahawa tentera akan menggunakan situasi itu untuk 'melakukan rampasan kuasa secara perlahan' dan meningkatkan lagi pengaruhnya ke atas pentadbiran orang awam.
"Terdapat 1,600 hingga 2,000 pengganas terlatih. Mereka mempunyai 200 wanita yang dilatih menggunakan senjata dan datang dengan niat untuk menawan bangunan negara," kata Menteri Pertahanan, Khawaja Asif selepas pertempuran itu meletus, semalam.
Khawaja menambah, pasukan keselamatan akan mempertahankan bangunan-bangunan kerajaan yang menjadi lambang kepada negara itu serta mengawal tunjuk perasaan dengan penggunaan aset penuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140901/lu_03/Situasi-di-Pakistan-meruncing#ixzz3C0QZ5000
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment