Monday, September 1, 2014

Shah Rukh Khan dilantik duta Interpol


LYON 31 Ogos - Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan menjadi pelakon India pertama dilantik sebagai Duta Polis Antarabangsa (Interpol), Rabu lalu sempena kempen global 'Turn Back Crime' yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang jenayah di Ibu Pejabat Interpol, di sini baru-baru ini.
Sumber, indianexpress.com melaporkan, Shah Rukh dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan satu penghormatan istimewa buat dirinya untuk menjadi sebahagian daripada usaha kempen tersebut.
"Seperti yang dikatakan oleh Mahatma Gandhi sebelum ini, saya tidak akan tunduk kepada ketidakadilan dan akan menegakkan kebenaran walaupun mendapat tentangan.
"Kita perlu percaya di atas prinsip berkenaan dan melakukan yang terbaik bagi menghalang pihak-pihak bertanggungjawab daripada mengancam usaha kita. Saya percaya kita mesti berganding bahu dalam menentang jenayah," katanya.
Aktor tersebut turut bergandingan bersama beberapa selebriti lain, antaranya aktor Hong Kong, Jackie Chan, pemain bola sepak antarabangsa, Lionel Messi dan pelumba kereta Formula 1, Fernando Alonso dalam kempen tersebut.
Setiausaha Agung Interpol, Ronald K Noble berkata, Shah Rukh telah berbakti dalam industri perfileman Bollywood dan dia membuktikan tahap profesionalisme dan komitmennya yang tinggi terhadap jutaan peminat filem India dan seluruh dunia.
"Interpol berbesar hati dengan pemilihan Shah Rukh sebagai Duta kempen Turn Back Crime dan kami menantikan bagaimana dia menggunakan bakat seninya dalam kempen tersebut," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140901/lu_07/Shah-Rukh-Khan-dilantik-duta-Interpol#ixzz3C0R3i3Rw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment