Monday, September 1, 2014

Peta baharu pencarian MH370 didedahkan


SYDNEY 31 Ogos - Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, akan tertumpu di lokasi penting berdasarkan maklumat pemetaan baharu yang disediakan kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) ketika pasukan pencari menyuarakan keyakinan untuk menyelesaikan misteri kehilangan pesawat terbabit dalam tempoh setahun.
Laporan akhbar Sydney Morning Herald menyebut, proses pemetaan di selatan Lautan Hindi menggunakan dua kapal yang dilengkapi teknologi sonar, hampir selesai dan peta dasar laut yang tepat akan disediakan untuk kegunaan ATSB mencari pesawat MH370.
Jelas laporan berkenaan, berdasarkan kontrak ATSB kepada tiga kapal peninjau iaitu Equator dan Discovery milik syarikat Fugro Survey Australia dan sebuah kapal milik syarikat Malaysia, GO Phoenix, misi pencarian pesawat MH370 bermula hujung September ini akan dilaksanakan mengikut peta baharu yang disediakan.
Ketiga-tiga kapal berkenaan akan menggunakan teknologi pengesan bunyi yang dikenali sebagai towfish yang turut dilengkapi alat pengesan minyak, kamera dan lampu selain mampu bergerak sejauh 100 meter di permukaan dasar laut dan disambung pada kabel besi yang tebal sepanjang 10 kilometer.
Imej dan maklumat lain yang dikumpul melalui peralatan itu akan dihantar ke ibu pejabat Fugro di Perth untuk dianalisis.
Dalam wawancara kali pertama dengan Pengarah Fugro Survey Australia, Steve Duffield berkata, pihaknya mempunyai kontrak selama setahun untuk mencari pesawat MH370 di kawasan lautan seluas 60,000 kilometer persegi.
Menurut Duffield, kontrak Fugro hanya mencari dan mengenal pasti serpihan pesawat dan siasatan untuk mengetahui apa yang berlaku kepada MH370 akan dilakukan oleh pihak lain.
Tambahnya, misi pencarian pesawat MAS itu sama seperti kerja yang syarikatnya lakukan pada setiap hari, tetapi saiz kawasan yang perlu diterokai dan kedalaman laut akan mengambil masa yang lama untuk menemukan serpihan pesawat berkenaan.
Sementara itu, jurucakap ATSB, Daniel O'Malley berkata, misi pencarian bergantung sepenuhnya kepada analisis teknikal yang rumit berdasarkan maklumat komunikasi terhad dan data penerbangan pesawat MH370.
Katanya, berdasarkan analisis berkenaan, pihaknya boleh mengenal pasti lokasi penting di Lautan Hindi untuk mencari pesawat terbabit.
"Saya perlu mengingatkan bahawa pasukan penyelamat mengambil masa dua tahun untuk mencari pesawat Air France AF447 melalui maklumat yang lebih banyak.
"Dalam kes MH370, kita berdepan situasi yang lebih sukar dan mencabar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140901/lu_06/Peta-baharu-pencarian-MH370-didedahkan#ixzz3C0QCeGlE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment