Wednesday, September 17, 2014

Cameron ulangi ikrar beri lebih kuasa kepada Scotland


CAMERON kelihatan sebak semasa menyampaikan ucapan menyentuh mengenai Scotland pada Persidangan dan Pameran Aberdeen di Scotland kelmarin.


ABERDEEN - Pemimpin tiga parti utama di United Kingdom (UK) semalam menyiarkan ikrar bersama untuk memberikan lebih kuasa kepada Parlimen Scotland sekiranya pengundi menolak kemerdekaan pada pungutan suara rakyat esok.
Perkembangan tersebut disifatkan sebagai usaha terakhir kerajaan untuk menghalang UK daripada berpecah.
Ikrar berkenaan yang mengulangi komitmen sebelum ini disiar di muka hadapan akhbar utama Scotland, Daily Record di bawah tajuk utama The Vow semalam.
Janji itu ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri, David Cameron; Ketua Pembangkang, Ed Miliband dan Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg, masing-masing daripada Parti Konservatif, Parti Buruh dan Parti Liberal Demokrat.
"Kami bersetuju bahawa: Parlimen Scotland adalah kekal manakala kuasa baharu lebih meluas akan diberikan padanya," menurut ikrar tersebut.
"Orang ramai mahu melihat perubahan. Undi menolak kemerdekaan menjanjikan perubahan yang lebih baik, selamat dan cepat berbanding perpecahan," tambah kenyataan bersama itu.
Ikrar sama mengesahkan semula jadual peruntukan kuasa baharu itu yang pernah diumumkan oleh tiga pemimpin tersebut pada minggu lalu.
Cameron, Miliband dan Clegg cuba untuk memenangi hati penduduk Scotland berikutan keputusan beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sokongan untuk kemerdekaan meningkat baru-baru ini, sekali gus menjadikan referendum Khamis ini sengit.
"Mereka jelas panik dan sanggup menyatakan apa sahaja pada hari-hari terakhir berkempen dalam usaha untuk cuba menyekat momentum kemerdekaan," kata seorang jurucakap kempen prokemerdekaan Scotland apabila diminta mengulas kenyataan bersama itu.
" Sebenarnya, satu-satunya cara untuk menjamin Scotland mendapat semua kuasa yang diperlukan adalah menerusi undi merdeka," tambahnya. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DWU4HH7h 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment