Wednesday, September 17, 2014

Kereta mewah Bale ditendang peminat

MADRID: Suatu perkara yang mengejutkan berlaku di Bernabeu apabila kereta mewah bintang Real Madrid, Gareth Bale ditendang manakala Toni Kroos dan Raphael Varane dihambur kata-kata kesat selepas menjalani sesi latihan.
Suasana di kelab gergasi Sepanyol itu jauh daripada positif selepas kekalahan berturut-turut kepada Real Sociedad dan musuh tetangga Atletico Madrid dalam aksi La Liga, minggu lalu.
Dan ketika pemain meninggalkan kompleks latihan di Valdebebas bersama kereta mewah masing-masing, sekumpulan peminat dilihat sedang menunggu namun ia tidak berlaku seperti diharapkan.
Ada yang menjerit untuk mendapatkan tandatangan Bale namun bintang Wales itu tidak menghentikan keretanya menyaksikan dua daripadanya melepaskan tendangan ketika dia sedang melalui mereka.
Satu tendangan dilihat tersasar manakala tendangan kedua nampak seperti mengenai sedikit kereta dipandu Bale.
Insiden itu berjaya dirakam stesen televisyen Sepanyol, Cuatro.

GAMBAR yang diambil daripada rakaman video yang menunjukkan kereta mewah Gareth Bale sedang ditendang.
Dalam pada itu, pemain tengah Jerman, Kroos yang dibeli dari kelab Jerman, Bayern Munich dikatakan menerima kata-kata kesat oleh peminat kelab itu, situasi yang turut berlaku kepada pemain Perancis, Varane.
Real ketika ini sedang bersedia untuk melancarkan kempen Liga Juara-Juara Eropah selepas mengharungi kempen domestik mendukacitakan.
Begitupun, pengurus Real, Carlo Ancelotti tetap mempertahan aksi anak buahnya sekalipun mempamer aksi buruk.
"Kami perlu membiasakan diri dengan pemain-pemain yang baru dan cuba segera mendapatkan keserasian dengan mereka. Kami mempunyai pemain yang tiba pada lewat Ogos lalu dan kami tidak mempunyai banyak latihan bersama mereka. Mereka memerlukan masa."
Lawan Real pada awal pagi ini ialah kelab Switzerland, FC Basel. - Agensi

No comments:

Post a Comment