Wednesday, September 17, 2014

Serpihan MH17 masih bertaburan


Bangkai serta serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh berhampiran kampung Grabove di timur Ukraine, masih berada di lokasi kejadian selepas dua bulan tragedi itu berlaku. - REUTERS
KIEV 16 Sept. - Serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, masih belum dikeluarkan dari lokasi nahas dan dikhuatiri dicuri oleh penduduk tempatan untuk dijual sebagai besi buruk.
Laporan portal berita The Guardian selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada minggu lalu menyatakan, enjin dan serpihan badan pesawat terbabit masih terdampar di sekitar wilayah Donetsk yang menjadi lokasi pertempuran antara kumpulan pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Menurut laporan itu, banyak barang peribadi 298 mangsa nahas tersebut bertaburan di sekitar lokasi kejadian termasuk kasut, majalah, basikal dan permainan kanak-kanak.
Turut dilaporkan, penduduk kampung Rozsypne yang terletak berhampiran kawasan nahas mengambil banyak serpihan kenderaan tentera yang musnah atau ditinggalkan akibat pertempuran kumpulan pemberontak dan tentera Ukraine untuk dijual sebagai besi buruk.
"Buat masa ini, mereka tidak mengambil serpihan pesawat MH17 selepas puak pemberontak memberi amaran agar tidak berbuat demikian.
"Penduduk kampung yang didapati mengambil barangan peribadi dan berharga milik mangsa telah memulangkannya semula kepada kumpulan pemberontak," tambah laporan berkenaan.
Pihak berkuasa Belanda yang mengetuai siasatan insiden itu, masih belum meneruskan misi di lokasi kejadian memandangkan tahap keselamatan yang membimbangkan ekoran pertempuran antara puak pemberontak dan tentera Ukraine walaupun kedua-dua pihak bertelagah menandatangani perjanjian gencatan senjata pada 5 September lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan pemantau antarabangsa, Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) diserang selepas berkunjung ke lokasi nahas pesawat MH17, menyebabkan sebuah daripada kenderaan yang digunakan rosak teruk akibat serangan meriam dan terpaksa ditinggalkan.
Timbalan Pengarah OSCE, Alexander Hug berkata, enam anggota pertubuhan yang terlibat dalam kejadian berkenaan tidak mengalami kecederaan dan menganggap insiden itu sebagai kejadian yang tidak boleh diterima.
"Saya menggesa kedua-dua pihak menghormati perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Minsk supaya situasi di wilayah Donetsk dan Luhansk kembali pulih," katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu didalangi oleh kumpulan pemberontak atau tentera kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_03/Serpihan-MH17-masih-bertaburan#ixzz3DWO0X5Li
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment