Wednesday, September 17, 2014

PBB bincang tentang Ebola


Sebahagian pelajar mendengar penerangan tentang bahaya Ebola yang disampaikan oleh kakitangan UNDP di Sekolah Tinggi Saint Therese de Koummassi di Abidjan, Ivory Coast, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 16 Sept. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai virus Ebola Khamis ini, bagi mencari penyelesaian dalam meningkatkan kesedaran di peringkat antarabangsa.
"Adalah penting untuk ahli-ahli membincangkan wabak ini dan menyelaras tindak balas antarabangsa serta memulakan proses mengatur sumber bagi menghentikan penyebaran wabak berkenaan," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power.
Wabak tersebut meragut lebih 2,400 nyawa di Afrika Barat dengan Liberia sebagai negara paling teruk dijangkiti.
Badan dunia itu telah menetapkan matlamat untuk menghentikan penularan Ebola dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, tetapi agensi-agensi bantuan mengadu bahawa bantuan lambat tiba kepada mereka yang memerlukan.
"Situasi di kawasan terlibat sangat teruk dan semakin kritikal dari hari ke hari," kata Power.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon merancang 'program peringkat tinggi' sempena Perhimpunan Agung PBB minggu depan, bagi menarik perhatian terhadap penularan Ebola dan tindakan yang perlu diambil.
Menteri Pertahanan Liberia, Brownie Samukai berkata, wabak tersebut adalah 'satu ancaman serius' kepada negaranya dan merebak dengan cepat.
Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk menghentikan jangkitan Ebola tetapi pakar sedang berusaha mengenal pasti dua vaksin berpotensi dan lapan rawatan termasuk pemberian ubat ZMapp.
Dalam pada itu, Presiden AS, Barrack Obama bersedia menghantar kira-kira 3,000 anggota tentera ke Afrika Barat untuk memerangi Ebola.
Pasukan tentera tersebut akan membekalkan bantuan perubatan dan sokongan logistik serta menambahkan bilangan katil yang diperlukan bagi mengasingkan dan merawat mangsa-mangsa wabak Ebola. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_06/PBB-bincang-tentang-Ebola#ixzz3DWP6yHCe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment