Saturday, October 18, 2014

Polis Hong Kong serbu lokasi protes


ANGGOTA polis berlari ke arah penunjuk perasaan yang cuba berkumpul semula selepas diarahkan bersurai di daerah Mongkok, Hong Kong semalam. - AFP


HONG KONG – Polis melakukan serbuan pada waktu Subuh untuk mengosongkan sebahagian daripada lokasi penunjuk perasaan di pulau ini semalam dengan merobohkan khemah dan sekatan yang dibina oleh kumpulan prodemokrasi.
Serbuan dilakukan beberapa jam selepas pemimpin pulau ini membuka semula tawaran rundingan bagi menamatkan demonstrasi jalanan yang berlanjutan sejak hampir tiga minggu lalu.
Serbuan itu tidak mendapat tentangan kumpulan penunjuk perasaan dan dibuat selepas Ketua Eksekutif Leung Chun-ying menawarkan semula untuk berdialog dengan mereka, seminggu selepas beliau menolak rundingan tersebut.
“Serbuan itu berlaku dengan pantas,” kata seorang penunjuk perasaan Yung Chung-To, 20.
“Polis datang pada pukul 5 pagi sambil menjerit mereka akan membersihkan kawasan ini,” tambahnya.
Menurut seorang penunjuk perasaan lain, serbuan itu berlaku dengan aman dan tiada sebarang pergaduhan berlaku.
Namun, operasi polis berisiko menjejaskan dialog tersebut, manakala sejumlah penunjuk perasaan masih berdegil dan terus berhimpun di sebahagian jalan yang tidak diserbu pihak berkuasa.
Sementara itu, daerah Mongkok di sini pula menyaksikan pergaduhan ganas antara penunjuk perasaan yang menuntut pentadbiran demokrasi dengan kumpulan prokerajaan.
Pulau ini yang merupakan pusat kewangan Asia digegarkan oleh beberapa tunjuk perasaan besar-besaran bagi menuntut pemerintahan demokrasi sepenuhnya dan peletakan jawatan Chun-ying.
Pemerintah China bagaimanapun bertegas bahawa pengganti Chun-ying perlu ditapis oleh Beijing sebelum boleh bertanding dalam pilihan raya pulau ini pada 2017.
Peraturan tersebut disifatkan oleh kumpulan penunjuk perasaan sebagai demokrasi palsu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3GTZuecrc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment