Saturday, October 18, 2014

Republikan desak sekat warga Afrika Barat masuk AS



SEORANG penunjuk perasaan membawa sepanduk mendesak sekatan perjalanan terhadap negara dijangkiti Ebola ke AS di hadapan White House, Washington kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON – Parti pembangkang, Parti Republikan kelmarin mempolitikkan krisis Ebola yang melanda Amerika Syarikat (AS) apabila menuntut Presiden Barack Obama melaksanakan larangan perjalanan melibatkan beberapa negara yang terjejas teruk akibat virus maut itu.
Sebelum ini, pentadbiran Obama enggan melaksanakan larangan perjalanan dari Guinea, Liberia dan Sierra Leone di Afrika Barat yang menyaksikan beribu-ribu orang mati akibat wabak demam Ebola sejak Mac lalu.
“Presiden (Obama) mempunyai kuasa itu. Beliau memilih untuk tidak menggunakannya,” kata wakil rakyat Texas daripada Parti Republikan, Michael Burgess.
“Tiada siapa tahu kenapa kita tidak mengambil tindakan penting untuk melindungi negara kita,” tambahnya.
Menjawab dakwaan tersebut di sini kelmarin, Obama memberitahu, larangan perjalanan bukan cara untuk melindungi AS kerana ia kurang berkesan berbanding langkah menyaring penumpang dari Afrika Barat.
“Pada dasarnya, saya tidak menolak larangan perjalanan jika ia cara untuk melindungi keselamatan rakyat AS,” kata Obama.
“Bagaimanapun, sebahagian penduduk rantau itu mungkin akan cuba menyeludup masuk ke AS dan mengelak pemeriksaan saringan jika sekatan perjalanan dikuatkuasakan.
“Jika ini berlaku ia boleh menyebabkan jangkitan Ebola di AS meningkat dan bukan sebaliknya,” jelas Presiden AS itu. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3GTaH5PYi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment