Pilihan raya awal itu, lapan bulan selepas demontrasi yang me­nyaksikan Presiden pro-Rusia, Viktor Yanukovych digulingkan, bakal menyaksikan Parlimen Ukraine dianggotai oleh golongan pembaharuan dan nasionalis yang menyokong hasrat Presiden, Petro Poroshenko membawa Ukraine lebih rapat dengan Barat.
Dalam ucapannya di televi­syen Ukraine semalam, Poroshenko berkata, beliau mahu meraih sokongan majoriti kepada agenda pro-Eropah dan memutuskan hubungan lampau dengan Soviet.
“Tanpa sokongan majoriti di Parlimen, program Presiden .... hanya akan tinggal di atas kertas sahaja,’’ kata beliau.
Malah, tinjauan pendapat menunjukkan, kumpulan politik yang menyokong Poroshenko berkemungkinan menjadi kuasa penentu dalam Parlimen yang mempunyai 450 kerusi itu.
Ramalan itu jika menjadi ke­nyataan bakal meningkatkan lagi ketegangan dalam hubungan Ukraine - Rusia, selepas pemimpin Kiev menyalahkan kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur negara ini dalam konflik yang mengorbankan lebih 3,700 nyawa serta memburukkan lagi ekonomi Ukraine.
Sebanyak 29 parti bertanding pada pilihan raya itu dan dipantau 2,000 pemantau antarabangsa.
Menurut pihak berkuasa pilihan raya, pengundian tidak akan diadakan di 27 kawasan pilihan raya termasuk 12 di Crimea dan selebihnya di timur Ukraine, bermakna hanya 423 wakil yang akan dipilih, hari ini. – AFP/REUTERS