Friday, November 28, 2014

Anak derhaka?

Hubungan Mesut Ozil dengan bapanya hancur, gara-gara perbicaraan membabitkan kedua-dua mereka di mahkamah.
Mustafa Ozil membawa Mesut Ozil Marketing Company ke mahkamah dan meminta ganti rugi £495,000 (RM2.59 juta) kerana kehilangan pendapatan menerusi kontrak penajaan.
Mesut pula membalas pendakwaan itu dengan menuntut bapanya memulangkan £800,000 (RM4.2 juta) yang dipinjamnya.
Kes itu bagaimanapun diselesaikan di luar mahkamah bulan lalu, tetapi mahkamah negeri Dusseldorf minggu ini baru saja mengesahkan kes itu sudah selesai.
Abangnya, Mutlu menguruskan hal ehwal pemain itu sejak setahun lalu.
Namun sebelum itu, Mustafa adalah ejen anaknya, selain menjadi eksekutif 'Mesut Ozil Marketing Company'.
Pada musim panas 2013, Mustafa bukan saja mengendalikan perbincangan untuk anaknya berpindah dari Real Madrid ke Arsenal, tetapi juga mengaut kontrak tajaan berjuta pound dengan Adidas.
Hubungan antara ayah dan anak bertukar keruh tidak lama selepas itu, apabila Mesut dikatakan kecewa dengan perceraian ibu bapanya.
Pemain Jerman itu segera memecat bapanya dan melantik abangnya, Mutlu sebagai ejen barunya.
Mustafa juga menjadi tumpuan ketika anaknya meninggalkan Real dalam suasana kurang menyenangkan, apabila bertelagah dengan presiden Florentino Perez pada September 2013.
Real menuduh Ozil dan bapanya tamak, manakala Mustafa menegaskan Perez bukan orang yang wajar dihormati. Ada yang membuat spekulasi kacau bilau dalam kes Mesut menjadi punca kemerosotan prestasinya menjelang hujung tahun itu.
Mustafa, bagaimanapun mempunyai alasan baru untuk membela dirinya. Dalam satu wawancara dengan akhbar Cologne, 'Express' minggu ini, dia mendakwa bahawa teman wanita Mesut, Mandy Capristo, menghancurkan hubungan antara bapa dan anak.
"Teman wanitanya ketika itu menjadi pemisah antara bapa dan anak. Dia buat Mesut jadi gila," katanya.
Apa pun puncanya, hubungan di antara Mesut dan bapanya begitu dingin tahun lalu dan menjadi semakin buruk.
"Hubungan kurang baik antara Mesut dan bapanya bukan perkara baru," kata Pengurus Besar skuad Jerman, Oliver Bierhoff kepada Express.
"Bagaimanapun, Mesut sentiasa merahsiakan soal peribadinya. Dia tidak pernah menceritakan kepada kami mengenai perkara itu."
Ozil Marketing ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM

No comments:

Post a Comment