Friday, November 28, 2014

Cameron Highlands: Amanah rakyat yang dinodai


ARMAN SIDDIQI | .
TRAGEDI yang berlaku di Cameron Highlands pada 5 November lalu harus dikecam oleh semua ahli masyarakat. Kejadian banjir lumpur yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa ini tidak harus berlaku, khususnya apabila Lembah Bertam dan Ringlet telah dilanda bencana serupa setahun lalu. Tanda-tanda peristiwa ini akan berulang telah diketahui oleh semua pihak yang sepatutnya melakukan sesuatu .

Sudah tentu apabila Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan mencemar duli ke kawasan yang terjejas, baginda sewajarnya murka dengan semua pihak yang bertanggungjawab untuk kawasan Lembah Bertam dan Ringlet.

Ahli Parlimen G Palanivel telah dikritik oleh Istana Pahang kerana jarang turun ke kawasan dan menyempurnakan tugasnya sebagai wakil rakyat. Sukar untuk presiden MIC Palanivel mengelak serangan bertubi-tubi semua pihak kerana beliau juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Alangkah malangnya apabila tragedi yang sama berulang dalam masa 13 bulan dan ahli parlimennya bukan berasal dari kawasan tersebut. Beliau hanya berhijrah ke Cameron Highlands semasa pilihan raya Umum 2013. Malang bagi Palanivel yang dalam masa 18 bulan sudah berhadapan dengan dua insiden banjir lumpur yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa.

Namun, tragedi yang berlaku di Lembah Bertam adalah disebabkan oleh pembangunan tidak terancang dan tanpa pemantauan awal mahupun berperingkat untuk mengelakkan banjir lumpur kali kedua.

Terdapat beberapa pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab untuk segala perkembangan di Cameron sehingga menyebabkan tragedi menimpa kawasan Lembah Bertam.

Antaranya ialah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pertanian, Kementerian Alam Sekitar, Jabatan perangkaan, pihak berkuasa tempatan, RELA, Polis DiRaja Malaysia dan imigresen. Persoalannya, kenapa kelihatannya seperti mereka kurang peka kepada perkembangan di Lembah Bertam dan Ringlet?

Contohnya, Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Mustafa Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa kemasukan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) ke kawasan Cameron Highlands adalah tidak terkawal dan dilaporkan hampir 500 kebun sayur-sayuran dikawal selia oleh PATI. Malah dilaporkan oleh Utusan Malaysia bahawa seorang pemilik kebun warga Bangladesh di Lembah Bertam sudah bergelar jutawan hanya dengan menjalankan aktiviti pertanian mengusahakan sayur-sayuran.

Sekiranya pembaca menyoal bagaimana PATI boleh menguasai tanah, jawapannya mudah. Mereka menyewa daripada penduduk tempatan. Desas-desusnya, PATI sanggup membayar  RM1,500 sebulan iaitu hampir dua kali ganda harga sewa yang sanggup dibayar oleh pengusaha-pengusaha tempatan.

Yang lebih menarik bukanlah bumi kita yang penuh dengan kekayaan ataupun mereka yang lahir di Dhaka dapat menyesuaikan diri dengan industri mengusahakan sayur-sayuran, tetapi mereka boleh meneruskan kegiatan mereka tanpa merasa takut disekat atau dihalang oleh undang-undang negara mahupun agensi-agensi kerajaan.

Ironinya, bagaimana setiap agensi kerajaan tidak berjaya menumpukan kegiatan masyarakat ini? Hal ini menimbulkan tanda tanya berkenaan ketulusan dan keberkesanan agensi kerajaan ini.

Mungkin silapnya bukan dibawah, tetapi di atas? Sekiranya isu pemantauan hanya boleh dijayakan melalui kerjasama pelbagai pihak dalam struktur kerajaan, maka Ketua Setiausaha Utama Kementerian seperti Dato' Sri Zoal Azha bin Yusof di kementerian sumber asli dan alam sekitar perlu disarankan untuk memainkan peranan strategik dalam isu ini.

Hal ini kerana, menteri yang bertanggungjawab untuk kementeriannya terlibat dengan perkembangan ini.

Situasi di Cameron menunjukkan yang banyak perkara negatif di Malaysia tidak terhad kepada penglibatan ahli-ahli politik. Mereka yang bertanggungjawab dengan perlaksanaan kerajaan telus adalah mereka yang menganggotai perkhidmatan awam, yang berjumlah hampir dua juta orang.

Perlaksanaan dan pemantauan sebenar adalah di tangan mereka. Apabila didapati yang tragedi Lembah Bertam dan Ringlet boleh berulang dalam masa setahun, bukan sahaja Palanivel harus memberi jawapan dan menerima tanggungjawab ini sepenuhnya. Malahan, Zoal Azha dan pegawai-pegawai tertingginya perlu turut serta memberi jawapan mereka.

Sekiranya tidak, lebih banyak soalan akan muncul. Yang lebih buruk, tidak mustahil tragedi Lembah Bertam dan Ringlet akan berulang. –HARAKAHDAILY 25/11/2014

No comments:

Post a Comment