Friday, November 28, 2014

Rayuan bantuan bekas tahanan ISA


ARIF ATAN | .
KUALA LUMPUR: Walaupun telah dibebaskan dari tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting sejak lima tahun lalu, Abdul Jamal Azhari memerlukan sokongan kewangan bagi menyelesaikan proses mahkamah yang masih berlangsung di Manila, Filipina.
Beliau yang pada masa ini tinggal di Batu 19, Sandakan mempunyai lapan anak tetapi bergantung pada anak ketiga yang bekerja di pusat sembelihan ayam yang gajinya sekitar RM400 sebulan.
Isteri beliau, Norhatta Isnani pula dalam keadaan uzur sekaligus memerlukan bantuan dana daripada orang ramai yang prihatin bagi menampung kos rawatan serta keperluan hidup mereka sekeluarga.
Pada tahun 2008 lalu, Jamal yang ketika itu ditahan di Filipina dapat diziarahi anak-anaknya melalui sumbangan daripada orang ramai yang diusahakan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman.
Jamal termasuk dalam kumpulan 13 bekas tahanan ISA yang dibebaskan Najib Abdul Razak apabila dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau ditahan tanpa bicara pada 2006 atas dakwaan menganggotai Darul Islam juga dikaitkan dengan perjuangan umat Islam Selatan Filipina.
Sumbangan orang ramai kepada keluarga Abdul Jamal Azhari boleh disalurkan terus ke dalam akaun HARAKAHDAILY DOT COM, Maybank 564070000336.
"Saya menyeru kepada orang ramai, bantulah keluarga malang ini. Mereka memang amat memerlukan sokongan dan bantuan anda," ujar Lutfi mewakili keluarga Jamal.
Sumbangan orang ramai sebelum ini dapat menyekolahkan anak-anak Abdul Jamal yang tidak pernah mendapat pendidikan formal di Madrasah Nurul Ihsan serta membaiki rumah usang didiami lapan beranak itu dengan lantai hampir reput dan pintu yang mudah ditolak begitu sahaja. - HARAKAHDAILY 28/11/2014

No comments:

Post a Comment