Singapura melarang perbuatan menghisap shisha di negara itu berkuatkuasa hari ini. – GAMBAR HIASAN
SINGAPURA 27 Nov. – Singapura akan mengharamkan perbuatan menghisap shisha di negara ini berkuatkuasa esok.
Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengharaman itu dibuat mengikut Peraturan Larangan Produk Tembakau yang dibuat di bawah Seksyen 15 Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan).
Katanya, sebagai satu langkah peralihan, pengimport tembakau berlesen sedia ada dan peruncit yang mengimport atau menjual tembakau shisha akan dibenarkan untuk terus mengimport dan menjual tembakau shisha sehingga 31 Julai 2016.
Menurutnya, langkah peralihan itu memberikan kesemua pihak terlibat masa yang cukup bagi mengurangkan stok dan menstruktur perniagaan mereka berasaskan shisha.
Individu yang melanggar larangan itu dan disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih S$10,000 (RM25,743) atau penjara bagi satu tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Jika individu itu disabitkan dengan kesalahan sama buat kali kedua, mereka boleh didenda tidak lebih daripada S$20,000 (RM51,486) atau penjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment