Basuki Tjahaja Purnama
JAKARTA 19 Nov. – Sekalipun berhadapan tindakan protes dan ancaman daripada musuh politik, gerakan ekstremis dan pelbagai pertubuhan kerajaan lain, namun majlis pelantikan Basuki Tjahaja Purnama sebagai Gabenor Jakarta yang baharu berjalan lancar.
Basuki atau dikenali sebagai Ahok, hari ini secara rasmi mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebagai Gabenor Jakarta yang baharu di Istana Negara pada pukul 2 petang dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen utama negara ini.
“Saya berjanji akan memenuhi kewajiban saya sebagai gabenor dengan sebaik-baiknya,” kata Ahok ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua pentadbiran kota Jakarta bagi penggal 2014 - 2017.
Ahok, 48, menjadi Gabenor Jakarta pertama yang beragama Kristian dalam tempoh 50 tahun.
Dilahirkan di Manggar, Belitung Timur pada 29 Jun 1966, Ahok merupakan antara politikus Cina yang terjun ke gelanggang politik selepas era Presiden Suharto pada Mei 1998.
Ketika Suharto berkuasa, kaum Cina tidak mempunyai peluang untuk mengetuai mana-mana pentadbiran kerajaan.
Beliau menggantikan Jokowi yang melepaskan jawatan berkenaan selepas dipilih sebagai Presiden ketujuh Indonesia menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.
“Presiden memberi arahan kepada saya supaya bekerja dan bekerja. Justeru, kami ingin bekerja dan tidak lagi bercakap mengenai politik,” ujar Ahok.
Ahok mempunyai masa selama 15 hari untuk memilih timbalannya.
Gabenor Jakarta ini juga dikenali sebagai pemimpin yang lantang dan sentiasa mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Beliau juga antara tokoh politik Indonesia yang tidak gentar melancarkan ‘perang’ dengan gerakan ekstremis Front Pembela Islam (FPI) dan mencadangkan gerakan Islam itu diharamkan.
Sebelum ini, FPI memberi amaran akan menghalang majlis pelantikan itu dengan apa cara sekalipun dan beberapa kali menganjurkan demonstrasi secara ganas.
Bagaimanapun, sehingga selesai majlis angkat sumpah jawatan Ahok sebagai Gabenor Jakarta, tiada sebarang laporan ancaman atau gangguan oleh FPI.
Sebanyak 12,000 anggota polis dikerah sejak awal pagi untuk mengawal keselamatan berikutan terdapat ancaman oleh FPI itu.
FPI membantah pelantikan Ahok dengan mendakwa Gabenor Jakarta itu, yang beragama Kristian dan mempunyai darah Cina tidak sewajarnya diberi peluang mengetuai pentadbiran kerajaan di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Aksi tunjuk perasaan dianjurkan, hari ini oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pelantikan Ahok serta membantah keputusan pentadbiran Jokowi menaikkan harga minyak, kelmarin.
“Selama satu penggal kepemimpinannya, Ahok secara membabi-buta memusnahkan ribuan rumah milik warga miskin dengan alasan untuk mengatasi segala permasalahan di Jakarta termasuk banjir, kawasan kumuh, jenayah dan kesesakan, tapi dia tak pernah berpikir kesannya,” kata Ketua Serikat Perjuangan Rakyat Indonesia (SPRI), Sukendar ketika mengetuai demonstari di hadapan Istana Negara, Jalan Medan Merdeka Utara di sini. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment