Gambar Erdogan sedang memarahi perokok itu, mengundang reaksi hangat di media sosial dengan pihak pembangkang menganggap aksi tersebut sebagai bukti kepada sifat-sifat kuku besi pemimpin berkenaan yang semakin meningkat.
Perbuatan merokok di tempat awam adalah dilarang di Turki.
“Perlu ada hukuman untuk ini! Lelaki biadab itu, lihat padanya. Presiden sedang memberitahunya supaya tidak merokok, namun dia masih terus merokok,’’ teriak Erdogan sambil memberitahu pembantunya sebelum beliau terus berjalan melalui kawasan perniagaan di Esenler selepas hadir pada satu majlis kerajaan, kelmarin.
Mengulas insiden itu, seorang pengguna Twitter menulis: ‘Me­rokok lebih sihat daripada fahaman fasis’ sambil menggunakan hashtag ‘#merokok tidak sama bahaya seperti anda’ yang ditujukan kepada Erdogan.
Perbuatan merokok masih meluas di Istanbul berbanding bandar-bandar raya lain di Eropah dengan parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan mengambil langkah drastik untuk mencegahnya iaitu memperkenalkan larangan merokok di dalam bangunan serta mengkaburkan imej rokok pada iklan televisyen termasuk mengenakan cukai yang tinggi. – REUTERS