Wednesday, November 5, 2014

Sesat: Dewan Ulamak PAS serah memo kepada Ku Nan


HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Dewan Ulamak PAS Pusat  hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor berhubung kenyataan beliau yang menuh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Penyerahan itu diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada wakil Tengku Adanan di Pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini tengah hari ini.

Turut hadir pada penyerahan itu Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak Ustaz Norazli Musa, Exco Dewan Pemuda Pas Pusat Nurul Islam Mohamed Yusof dan beberapa ahli parlimen PAS.

Mereka termasuk Idris Ahmad (Bukit Gantang), Nasrudin Hassan (Temerloh), Nik Abduh Nik Aziz (Pasir Mas),  Marzuk Shaary (Bachok), Dr.Izani Husin (Pengkalan Chepa).

Antara lain, kandungan memorandum itu mendesak Tengku Adnan memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang disifatkan tersasar itu.

"DUPP sekali lagi mendesak Datuk Seri Tengku Adnan menarik kembali tuduhan tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang daripada PAS.

"DUPP bersedia untuk bermuzakarah untuk Datuk Seri mendapat pencerahan perjuangan PAS dalam menegakkan aqidah, syariat dan akhlak Islam di dalam negara ini," kenyataan itu dipetik.

Ahad lalu, Tengku Adnan yang juga selaku Setiausaha Agong Umno ketika berucap di Multaqa Kebangsaan Biro Agama parti itu  menuduh PAS parti ajaran sesat yang memesongkan akidah.

Menteri Wilayah itu juga mendakwa ajaran PAS hanya tahu memecah belah.

Sebaliknya kata Tengku Adnan, hanya Umno lah parti Melayu yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika mengulas perkara itu berkata dakwaan Tengku Adnan bahawa Umno sebagai parti Melayu yang boleh memastikan akidah umat Islam terpelihara adalah tersasar dari realiti yang sebenar.

Sepanjang merdeka sejak 1951 katanya, Umno sebagai parti pemerintah yang berkuasa telah membiarkan pemikiran dan aqidah yang rosak berkembang seperti sekular, pluralisma dan liberalisma.

"Malah usaha menegakkan syariat Islam seperti undang-undang jenayah Islam masih gagal dinobatkan dan tidak dipandang serius oleh Umno selaku pemerintah yang mengaku Islam," tegasnya.-HARAKAHDAILY 5/11/2014

No comments:

Post a Comment