Wednesday, November 5, 2014

Hati ibarat rumah enam pintu


TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .
Wahai sahabatku,

Aku sangat tertarik dengan kenyataan hukama'
مثل القلب مثل البيت له ستة ابواب، فاحذر ان لا يدخل عليك احد من هذه الابواب شيأ فيفسد عليك البيت ،
فالقلب هو البيت والابواب العين واللسان واللشفتان واليدان والرجلان والشم فمتى فتح باب من هذه الابواب الستة بغير علم ، ضاع البيت

Maksudnya:
"Perumpamaan seketul hati itu ibarat sebuah rumah yang mempunyai enam pintu, berhati-hatilah supaya tidak dimasuki oleh sesiapa pun melalui pintu-pintu tersebut kerana ia akan merosakkan rumah tersebut. Maka hati itu adalah rumah, maka pintu-pintunya ialah mata, lidah, dua bibir, dua tangan, dua kaki dan hidung. Apabila dibuka pintu-pintu yang enam itu tanpa ilmu, maka hancurlah rumah tersebut.”

Ilmu adalah pengawal yang paling ampuh bagi mengawal dirimu dari elemen yang akan merosakkan dirimu. Seandainya kamu tidak memelihara matamu, kedua tanganmu, lidah, kaki, hidungmu ia akan merosakkan terus dirimu.

Wahai sahabatku,
Kerana itu awasilah matamu dari melihat perkara yang diharamkan Allah, kerana pintu utama ialah matamu. Ia akan membangkitkan kemarahanmu, jua ketenanganmu. Ia mampu membangkitkan nafsumu atau menundukkan nafsumu, matamu akan menambah kasih sayangmu atau menambah kebencianmu, bahkan ia jua akan menundukkan jiwamu atau menambah egomu.

Pandulah matamu dengan ilmu, wahai sahabatku, agar engkau bukan hanya melihat dengan matamu yang zahir, bahkan kamu akan nampak dengan mata hatimu.

Demikianlah segala anggotamu yang lain. Ia hanya akan dapat memelihara segala pintu-pintumu dengan bimbingan ilmu.

Senyum

No comments:

Post a Comment