Wednesday, November 5, 2014

Kes Hasutan Pensyarah UM Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan


Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 8:21 PM
Dr Azmi Sharom.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan supaya dua isu perundangan dalam kes hasutan yang dihadapi pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Azmi Sharom dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam keputusannya, Hakim Kamardin Hashim berkata setelah meneliti hujahan bertulis pemohon (Azmi) dan responden (pendakwaan), beliau berpandangan bahawa kes terhadap pemohon adalah sesuatu kes yang wajar untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan sebagai suatu kes yang khas.

Kamardin berkata beliau percaya keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap dua persoalan undang-undang itu dapat diputuskan secara muktamad, cepat dan berekonomi.

"Kes membabitkan Azmi dan beberapa individu yang lain membabitkan Akta Hasutan dan isu yang dibangkitkan melibatkan suatu persoalan yang serius terhadap keabsahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang akan menentukan pertuduhan terhadap pemohon," katanya.

Dalam membenarkan permohonan Azmi untuk merujuk dua isu itu ke Mahkamah Persekutuan, beliau berkata mahkamah mengguna pakai peruntukan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Persoalan pertama itu adalah sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bercanggah dengan Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu terbatal menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua, sama ada Akta Hasutan 1948 suatu Akta yang sah dan berkuat kuasa menurut Perlembagaan Persekutuan.

Kamardin juga memerintahkan semua prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kedua-dua isu berkenaan.

Pada 17 September lepas, Azmi memfailkan permohonan bagi mendapat perintah agar Mahkamah Tinggi merujuk dua persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berpelembagaan atau tidak.

Azmi juga memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung dan/atau dibatalkan.

Sebelum itu pada 2 September, Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis kerajaan negeri Perak 2009.

Dia dituduh menyebut perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos lepas.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo.

No comments:

Post a Comment