Amsterdam: Belanda semalam mengadakan majlis peringatan khas untuk 298 penumpang MH17 yang maut dalam tragedi di timur Ukraine, Julai lalu.
Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan Kedutaan Belanda di luar negara menjelang majlis di Amsterdam yang turut dihadiri 1,600 anggota keluarga mangsa selain Raja Willem Alexander dan isterinya serta Perdana Menteri Mark Rutte.
Nama semua mangsa yang terbunuh dalam nahas 17 Julai lalu - 193 daripadanya rakyat Belanda - akan dibacakan ketika majlis yang juga disiarkan secara langsung televisyen serta Radio negara itu.
Rutte dan empat anggota keluarga mangsa dijadualkan membuat ucapan selain hadirin diminta diam selama seminit bagi menghormati mangsa yang turut merangkumi kanak-kanak disebabkan kebanyakannya terdiri daripada keluarga yang menghabiskan cuti sekolah bersama.
Dua dari kira-kira 16 negara lain yang turut mempunyai mangsa korban juga menghadiri majlis itu.
Ukraine dan negara Barat mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak pejuang pemisah menggunakan senjata dibekalkan Russia, namun Moscow menafikan dakwaan itu sebaliknya menuduh Kiev sebagai dalang.
Setakat ini 289 mangsa dikenal pasti berdasarkan sisa mayat ditemui di lokasi nahas dalam siasatan diketuai pasukan Belanda, namun Menteri Luar Belanda Bert Koenders Sabtu lalu mendedahkan ada mayat yang mungkin tidak dapat ditemui langsung.
Lima lagi keranda mengandungi sisa mayat dan barangan peribadi mangsa tiba di Belanda Sabtu lalu dan masih menanti pengecaman.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:07 AM
Bendera dikibarkan separuh tiang di pintu masuk utama pusat kongres RAI di Amsterdam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8135#sthash.CrxZPNFa.dpuf
No comments:
Post a Comment