Tuesday, November 11, 2014

NGO tuntut Adnan Yaakob bertanggungjawab




KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar mahu kerajaan negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penerokaan tanah secara haram serta insiden banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands.
Meskipun bencana tersebut te­lah mendapat perhatian kerajaan Persekutuan, NGO terbabit turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan kerajaan negeri bersikap lepas tangan berikutan perhatian yang diberikan kerajaan Persekutuan terhadap isu pencerobohan di tanah tinggi itu.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan negeri Pahang perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak bertindak melindungi mana-mana pihak yang terlibat bagi memastikan masalah tersebut selesai.
“SPRM perlu melakukan penyiasatan secara menyeluruh melibatkan pihak atasan hingga bawahan tanpa mengira pangkat bagi menangani masalah kemusnahan alam sekitar akibat kegiatan pencerobohan tanah secara haram di Cameron Highlands,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau mengulas kenyataan Adnan semalam bahawa agensi kerajaan ne­geri sukar melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pencerobohan tanah di Cameron Highlands disebabkan kurang kakitangan serta peruntukan kewangan selain terdapat ugutan bunuh daripada kumpulan penceroboh tanah di tanah tinggi tersebut.
Presiden Persatuan Ke­sedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan pula berkata, kerajaan Pahang seolah-olah menganggap situasi yang berlaku di Cameron Highlands masih terkawal walaupun hakikatnya mereka menyedari tentang kewujudan pe­nerokaan tanah secara haram yang semakin menjadi-jadi saban tahun.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kerajaan negeri perlu terbabit secara seiring dengan hasrat kerajaan Persekutuan yang mahu membanteras aktiviti pencerobohan tanah di Cameron Highlands.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3IiMGFdyD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment