KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memutuskan penetapan harga runcit bagi RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini adalah satu perkembangan yang positif kepada pengguna dan ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata, ketika harga bahan bakar global sedang mencatatkan penurunan, ia adalah baik kepada pengguna kerana mereka boleh mendapat manfaat daripadanya.
"Pada masa sama, ini juga membantu kerajaan dari segi (mengurangkan) bebanan subsidi di dalam bajetnya.
"Langkah ini juga tidak memberikan kesan inflasi memandangkan harga bahan bakar sedang menyusut," katanya kepada media selepas merasmikan pembesaran Pusat Perkhidmatan Korporat SWIFT di sini, hari ini.
Acara itu disempurnakan oleh Puteri Astrid dari Belgium.
Sementara itu Bernama melaporkan, Zeti ketika ditanya mengenai dasar monetari yang akan disemak semula susulan pelaksanaan sistem pengapungan terkawal terhadap harga bahan api itu berkata bank pusat perlu melihat kesan keseluruhan mengenai risiko inflasi dan perkembangan lain dari segi pertumbuhan.
"Ini dua faktor utama yang akan kita lihat dalam jangka sederhana. Buat masa ini ia tidak mengubah unjuran," katanya.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan diesel akan ditentukan menerusi mekanisme pengapungan terkawal bermula 1 Disember.
Kerajaan juga mungkin mempertimbang memperkenalkan subsidi bersasar berdasarkan pendapatan pada kemudian hari jika harga minyak kembali meningkat.
Langkah itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan menangani kenaikan kos sara hidup.
No comments:
Post a Comment