SERIAN 24 Nov. – Malaysia bakal berdepan dengan ancaman keselamatan jika masalah lambakan pekerja asing tidak diatasi segera.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, ketika ini, jumlah tenaga kerja asing adalah terlalu ramai dan perlu dikurangkan.
Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Negara, terdapat 6.7 juta pekerja asing sama ada yang mempunyai permit atau bekerja secara haram di negara ini.
“Jumlah lambakan pekerja asing dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara sekiranya terus mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Berapa lama lagi kita perlu bergantung kepada pekerja asing yang bekerja secara sah atau tidak, kita tidak boleh biarkan jumlah mereka semakin bertambah,” katanya berucap merasmikan Padang Futsal dan menutup Pertandingan Futsal Jemputan Piala Datuk Seri Richard Riot, di sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan dan Ketua Kaum, Mayang Gikim.
Mengulas lanjut, Richard Riot berkata, sebagai menteri bertanggungjawab terhadap sumber manusia di negara ini, menjadi impiannya untuk mengurangkan jumlah pekerja asing sebelum terlambat.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta belia masyarakat Dayak berusia 15 hingga 30 tahun agar mendaftar di sekolah atau institusi teknikal bagi menambah peluang mereka mendapatkan pekerjaan.
“Keengganan ramai belia Dayak mempelajari ilmu teknikal akan menyebabkan golongan ini ketinggalan apabila negara mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Negara maju memerlukan sekurang-kurangnya 55 peratus pekerjanya mahir dalam bidang teknikal," katanya.
No comments:
Post a Comment