Tuesday, November 25, 2014

Seniman Mustapha Maarof masuk hospital kerana sakit paru-paru



Oleh Akmal Abdullah
KUALA LUMPUR: Seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof, 79, dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, di sini, petang tadi, akibat sakit paru-paru.
Beliau diberi rawatan kecemasan dengan bantuan oksigen selepas menghadapi kesukaran bernafas yang agak kritikal sejurus tiba di pusat rawatan berkenaan ketika dibawa anaknya, Norazlynna, kira- kira jam 3 petang tadi.
Keadaannya ketika dikunjungi BH malam ini didapati stabil tetapi beliau masih dalam keadaan lemah, selain mengalami sedikit demam panas.
Ketika ditemui, Mustapha masih boleh berbual dengan wakil BH tetapi perbualan dengannya tersekat-sekat kerana beliau mengadu sakit di bahagian paru-paru ketika menarik nafas.
"Dah seminggu saya berasa sakit di bahagian dada, ingatkan sakit jantung tetapi selepas pemeriksaan saya tidak sangka ia berkaitan paru paru.
"Apabila sampai di pejabat saya pagi tadi, saya berasa sakit sangat dan susah untuk bernafas, jadi terlalu mengah.
"Sampaikan salam saya kepada kawan-kawan dalam industri dan media," kata Mustapha yang mengakui selera makannya juga terjejas sejak beberapa hari lalu.
Beliau kini sedang ditempatkan di Wad Bunga Raya di institut berkenaan.
Sementara itu, Norazlynna berkata, mengikut kata doktor bapanya akan menjalani pemeriksaan lanjut petang esok untuk rawatan bronchoscopy iaitu memasukkan kamera ke dalam bahagian paru-paru selepas ujian x-ray yang dibuat petang tadi mendapati kemungkinan berlaku jangkitan di bahagian kanan paru paru
Mustapha adalah bintang filem Melayu ketika era Studio Cathay-Keris di Singapura pada era 1950-an dan 60-an.
Antara filem awal lakonannya termasuk Pontianak, Sumpah Pontianak, Seri Mersing, Raden Mas, Naga Tasik Chini, Yatim Mustapha dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

No comments:

Post a Comment