MISSOURI 25 Nov. - Tunjuk perasaan ganas dan rusuhan tercetus di pekan Ferguson, hari ini selepas juri sebuah mahkamah di sini membuat keputusan tidak mengenakan dakwaan terhadap seorang pegawai polis berkulit putih yang menembak mati seorang remaja berkulit hitam pada Ogos lalu.
Rusuhan di pekan tersebut itu semakin buruk sehingga memaksa pasukan polis antirusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom pegun selepas penunjuk perasaan di luar Mahkamah St. Louis mula bertindak ganas dengan membaling batu ke arah sebuah balai polis dan membakar sebuah kenderaan pihak berkuasa.
Perusuh turut memecah masuk sebuah kedai telefon berdekatan dan sekurang-kurangnya 12 bangunan dibakar.
Rusuhan kali ini lebih buruk berbanding Ogos lalu, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Beberapa tunjuk perasaan turut diadakan di bandar-bandar lain, tetapi tiada laporan berlakunya rusuhan di luar Missouri.
Dalam pada itu, Presiden AS, Barack Obama dan keluarga mangsa meminta penunjuk perasaan agar tidak bertindak ganas selepas hakim membuat keputusan mendapati pegawai polis terbabit, Darren Wilson tidak bersalah dan bertindak mempertahankan diri ketika menembak mati Michael Brown, 18, sebanyak 12 das pada Ogos lalu.
Pendakwa raya, Robert McCulloch berkata, Wilson melepaskan tembakan selepas bergelut dengan Brown dan tiada sebab dakwaan perlu dikemukakan terhadap beliau.
Keputusan berkenaan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam penduduk Ferguson yang mahu Wilson dikenakan tindakan, terekoran laporan saksi yang menyatakan mangsa telah menyerah diri dan dikepung ketika dia ditembak mati.
Tetapi McMulloch berkata, bukti fizikal dan beberapa kenyataan saksi lain bercanggah dengan laporan berkenaan, sekali gus menimbulkan keraguan tentang dakwaan Wilson sengaja membunuh Brown.
“Keputusan terhadap sesuatu kes serius seperti mengenakan dakwaan terhadap seseorang atas tuduhan jenayah tidak boleh dibuat secara mudah, tetapi perlu melalui pemeriksaan terperinci terhadap semua bukti,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rusuhan-ganas-8232-di-bandar-ferguson-1.29208#sthash.YcLdeqAF.dpuf
No comments:
Post a Comment