Saturday, December 20, 2014

MH17: 700 Cebisan Mayat Masih Belum Dikenal Pasti


Diterbitkan: Sabtu, 20 Disember 2014 2:53 PM
Papan tanda dilarang masuk diletakkan di lokasi nahas MH17 yang masih dipantau rapi pasukan penyiasat.

SYDNEY: Keluarga salah seorang mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 mendedahkan sebanyak 700 cebisan mayat tragedi itu masih dalam proses untuk dikenal pasti identiti mereka oleh pihak penyiasat di Belanda.
Akhbar Daily Mail melaporkan, keluarga kepada seorang pelajar, Ben Pocock, 20, dari Keynsham, Bristol yang turut terbunuh dalam nahas itu berkata, anak mereka dalam perjalanan ke Australia ketika nahas berlaku.
Pocock adalah pelajar tahun dua kursus ijazah sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Loughborough.
Bapanya, Jeremy Pocock berkata, keluarganya bersyukur kerana menerima hampir kesemua anggota badan anaknya.
“Kami merupakan salah satu daripada keluarga mangsa yang perlu melalui proses untuk mengenal pasti mayat mangsa dengan lebih lanjut.
“Hanya beberapa hari lalu kami dimaklumkan terdapat 700 serpihan tisu dan tulang manusia masih belum dikenal pasti dan ia adalah satu proses yang akan berlanjutan sehingga April atau Mei ini,” katanya kepada BBC TV malam Jumaat.
Pihak berkuasa mengumumkan pada awal Disember lalu sebahagian cebisan anggota badan 38 rakyat Australia yang maut dalam nahas MH17, setakat ini telah dikenal pasti secara fomal.

No comments:

Post a Comment