Gambar hiasan sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia. Penganjur menetapkan untuk memansuhkan sesi berpakaian renang bagi acara itu pada 2015.
NEW YORK 19 Dis. – Pertandingan Ratu Cantik Dunia akan memansuhkan sesi berpakaian baju renang atau bikini pada pertandingan berprestij itu pada musim 2015.
Akhbar Daily Mail melaporkan, penganjur pertandingan itu, Julia Morley mengumumkan bahawa tidak akan ada lagi sesi berpakaian baju renang pada pertandingan itu mulai tahun depan.
Dalam satu temu bual bersama majalah Elle, Morley berkata; “Memang benar. Tidak perlu untuk melihat wanita berjalan menaiki dan turun pentas dengan berpakaian bikini. Ia tidak memberi apa-apa kesan. Malah ia juga tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita.”
“Saya tidak peduli jika seseorang itu mempunyai punggung yang lebih besar daripada orang lain. Kita memang tidak melihat kepada punggung. Kita hanya mendengar apa yang diperkatakan oleh peserta sahaja,” ujarnya Morley.
Dengan langkah itu, Morley berharap dapat membezakan pertandingan anjurannya dengan pertandingan Ratu Universe yang dianjurkan jutawan Donald Trump yang memberi penekanan kepada sesi berpakaian renang.
“Kita tidak mahu peserta merasakan diri mereka seperti mayat hidup yang bergerak,” ujarnya.
Pertandingan Ratu Cantik Dunia, yang dimulakan pada 1951 oleh arwah suaminya Eric, bermula dengan pertandingan yang mengutamakan pakaian renang secara eksklusif yang dikenali sebagai Festival Pertandingan Bikini.
Namun kini, Morley merasakan sesi berpakaian renang sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi.
Ekoran itu, pihak pengurusan memutuskan untuk tidak lagi menyiarkan sesi berpakaian renang pada petandingan Ratu Cantik Dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sesi penilaian dilakukan secara sulit di hadapan satu panel kecil.
Tetapi mulai 2015, pihak penganjur merancang untuk menghapuskan terus sesi berpakaian renang.
Morley yang mencecah usia 70-an berharap untuk mengadakan satu pertandingan `lain daripada yang lain’ dengan menitikberatkan kepintaran dan personaliti serta kecantikan fizikal peserta.
No comments:
Post a Comment