Saturday, December 20, 2014

Rumah bergegar dirempuh lembu, balak hanyut


20 Disember 2014


PASIR MAS - Sekeluarga cemas apabila rumah bertiang kayu yang didiami mereka dirempuh dua ekor lembu serta sebatang kayu balak yang dihanyutkan arus banjir di pekan Rantau Panjang, Khamis lepas.
 
Ketika menceritakan situasi berkenaan, Mohd Firdaus Mohd Yusuf, 25, berkata, pada masa kejadian dia berada bersama isteri Nor Fasehah Anuar, 21, serta bayinya Nur Zahra Imani yang berusia sembilan bulan.
 
"Dalam pukul 8 pagi kami berada dalam rumah, air sedang naik secara mendadak, kalau saya keluar dari rumah mungkin paras dada, kemudian saya nampak tiga ekor lembu hanyut.
 
"Dua daripada tiga ekor lembu itu melanggar tiang rumah saya, bergegar rumah rasa macam nak runtuh, kemudian datang kayu balak sepanjang satu meter turut menghentam tiang rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Panjang di sini, hari ini.
 
Mohd Firdaus berkata, kejadian berkenaan menyebabkan tiang rumahnya retak.

"Memang saya rasa takut, bimbang rumah runtuh dan menyebabkan kami sekeluarga dibawa air sungai yang deras.
 
"Nasib baik tiang rumah itu masih kukuh dan rumah tak runtuh, saya cemas sebab nak bawa keluarga keluar tak boleh air sangat deras," katanya.
 
Mohd Firdaus berkata, enam jam kemudian ayahnya Mohd Yusuf Alwi, 55, datang memindahkan mereka sekeluarga menggunakan perahu.
 
"Nasib baik ayah datang, air memang deras kami hanya mampu berdoa pada ketika itu, saya hanya dapat keluar ke tempat yang lebih selamat kira-kira 1 tengah hari.
 
"Saya kemudiannya bawa anak serta isteri ke rumah saudara terdekat, Alhamdulillah bayi saya pun selamat," katanya.
 
Dia berkata, ini merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya dan menyifatkan kejadian banjir tahun ini merupakan yang terburuk sejak 2004.
 
"Kalau tahun lepas air naik juga tapi tidak setinggi sekarang, kelengkapan rumah memang tak sempat diselamatkan.
 
"Apa yang saya fikir masa itu adalah selamatkan keluarga, banjir kali ini menguji mental dan fizikal saya," katanya.  - Bernama

No comments:

Post a Comment