Muzium Tsunami yang terdapat di pusat Kota Banda Aceh.
JAKARTA - Kurator kesenian dan pemerhati muzium Indonesia keturunan Aceh, Merwan Yusuf menegaskan penduduk di wilayah autonomi itu akan ‘dikutuk’ seumur hidup sekiranya mensia-siakan Muzium Tsunami yang dibina di Banda Aceh.
“Muzium Tsunami merupakan satu-satunya muzium paling kontemporari di Indonesia yang dibangunkan semasa zaman moden, sekali gus merupakan monumen peristiwa tsunami atau dikenali sebagai smong.
“Kita rakyat Aceh akan ‘dikutuk’ sampai mati, sekiranya membiarkan muzium itu terbiar begitu sahaja,’’ kata Merwan dalam pertemuan dengan Wali Nanggroe, Malik Mahmud Al Haytar, di Jakarta, Isnin lalu, lapor Tribunnews.com.
Merwan berkata, kebanyakan muzium di Indonesia menggunakan bangunan bekas peninggalan Belanda.
“Inilah satu daripada perkara yang membezakan muzium-muzium lain dengan Muzium Tsunami yang dibina khas,’’ kata Merwan.
Muzium Tsunami dirancang oleh arkitek terkenal Indonesia, Ridwan Kamil yang kini merupakan Datuk Bandar Bandung.
“Ridwan bertanyakan keadaan muzium itu kepada saya dan kita prihatin kerana muzium itu terbiar begitu sahaja,’’ katanya.
Merwan meminta Wali Nanggroe untuk mengembalikan fungsi muzium tersebut dengan sempurna.
“Muzium itu secara langsung boleh menguatkan tamadun Aceh,’’ kata Merwan yang pernah menjadi kurator di Galeri Nasional dan Dewan Kesenian Jakarta.
Dalam pertemuan itu juga, seorang seniman dari Siemeulue, Yoppi Smong mencadangkan supaya nama muzium itu ditukar kepada Muzium Smong kerana dalam bahasa Simeulue, smong membawa maksud tsunami yang berasal daripada perkataan Jepun.
No comments:
Post a Comment