Nurul Izzah
Nurul Izzah
KUALA LUMPUR - Rakyat khususnya pengundi yang menyokong PR tidak perlu melayan serangan rasis yang acap kali dilontarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam banyak ucapannya.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa kebanyakan ucapan Dr Mahathir itu hanya boleh mengundang kebencian dan kemarahan rakyat akibat isu perkauman yang dimainkan.

"Agak ironik ianya datang daripada pemimpin yang terpaksa dan bergantung kepada undi bukan Melayu pada 1999 kerana ketika itu undi Melayu 54 peratus bersama dengan Barisan Alternatif.

"Jadi pada saya, usah kita mengendahkan naratif yang bersifat manupulatif Tun Mahathir kerana erlalu banyak kebencian disemaikan, pada kami (PKR), Pas dan DAP dalam semua perbincangan.

"Selalunya untuk memenangi naratif semua rakyat Malaysia, khususnya memberikan keyakinan kepada masyarakat Melayu," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembuangan sisa binaan secara tidak sah di Jalan Bukit Pantai, Bangsar, di sini, hari ini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mengatakan Umno, PKR dan Pas terpaksa mengemis untuk mendapatkan sokongan politik daripada golongan Cina bagi memenangi pilihan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Melayu mengemis pada Cina raih sokongan]

Dr Mahathir berkata lagi, keadaan itu berpunca daripada perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu yang terbahagi kepada tiga puak.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata lagi, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan serangan berbaur perkauman yang sentiasa menjadi agenda BN dan sekutunya.

"Jangan terpengaruh dengan serangan rasis, serangan agama dan provokasi perkauman yang dibawa BN dan sekutunya seperti Perkasa dan Isma.

"PR sekarang berusaha keras untuk memenangi dan mempamerkan naratif buat masyarakat Melayu supaya mereka yakin PR akan berusaha mengangkat martabat dan kedudukan ekonomi mereka," katanya lagi.