Azan Safar |
Pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar menegaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana NGO dan parti politik melakukan kempen itu mengikut cara masing-masing selagi mana ia tidak mencetuskan kontroversi.
"Terpulang kepada rakyat untuk terima atau tidak, itu hak rakyat, kerja kita hanya menyeru dan memberi penerangan.
"Namun saya juga tidak bersetuju kalau masuk untuk mengganggu program dan sokongan rakyat Malaysia kepada perlawanan malam ini," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat Nik Nazmi yang juga Exco Selangor yang mahu mengedarkan risalah Tuntut Harga Minyak RM1.90 pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki yang telah menimbulkan kemarahan peminat bola sepak negara.
Nik Nazmi memuat naik posting tersebut di akaun Instagramnya, semalam yang turut meminta peminat bola sepak bersama-sama mengedarkan risalah itu.
Kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan hasrat Nik Nazmi itu kerana merasakan tempat dan masanya tidak sesuai untuk 'bermain politik'.
Mengulas lanjut, Azan berkata lagi, kehadiran Nik Nazmi juga bukan sahaja ingin mengedarkan risalah bahkan untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya.
"Tiada (agenda lain), saya akan ingatkan supaya mereka turut sama menyokong Harimau Malaya dan tidak mencetuskan sebarang provokasi di sana nanti.
"Saya tengok dalam risalah di pintu kuning, bermakna edar di luar, tidak termasuk agenda mereka buat edaran dalam stadium," ujarnya.
Ditanya tentang pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mengatakan bahawa harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun di bawah paras RM2, beliau berkata, himpunan pada 31 Disember itu akan tetap diteruskan.
"Kalau kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas turun bawah RM2, maka ia menjadi satu perkara yang mendatang manfaat kepada rakyat dan ia perkara yang kita sokong dan perjuangkan," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir berkata, sayap PKR itu menangguhkan hasrat mereka untuk mengedarkan risalah tersebut pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan tercetusnya provokasi atau kejadian tidak diingini susulan cadangan itu mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak.
"Kami akan tetap hadir ke stadium untuk memberikan sokongan penuh buat pasukan Harimau Malaya," katanya dalam satu kenyataannya, sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment