Di Moscow, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov sudah menghubungi Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier selaku pengantara run­dingan dan menggesa satu mesyuarat tiga hala antara Rusia, Ukraine dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) diadakan.
Pemimpin kumpulan pembe­rontak di Donetsk, Denis Pushilin memberitahu agensi Interfax bahawa persidangan video berkumpulan antara pihak-pihak yang terlibat gagal untuk menyelesaikan suatu tarikh bagi mesyuarat fizikal berhubung rundingan itu.
“Terdapat keadaan yang perlu dibincangkan sebelum mencapai satu kompromi,’’ katanya, sambil menambah kata, beliau berharap satu perbincangan dapat diadakan sebelum hujung tahun ini.
Menurut Pushilin, terdapat `isu-isu positif’ termasuk gencatan senjata sedia ada yang dilaksanakan untuk tempoh 10 hari.
Diplomasi terhadap krisis itu semakin rancak pada minggu ini, ketika krisis ekonomi Rusia semakin meruncing ekoran kejatuhan harga minyak.
Steinmeier berlepas ke Kiev semalam untuk bertemu Presiden dan Perdana Menteri Ukraine, Petro Poroshenko serta Arseny Yatsenyuk.
Beliau gagal menggesa kesemua pihak terbabit untuk berhimpun di Minsk, Belarus bagi membincangkan berhubung rundingan damai. - DPA