Ketua Pegawai Eksekutif Sony Picture, Michael Lynton, turut membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mengkritik keputusan Sony membatalkan tayangan filem itu dengan menyifatkan tindakan studio perfileman itu sebagai satu ‘kesilapan’, hampir empat minggu selepas Korea Utara berang dengan filem itu yang dianggap memburukkan negara komunis itu.
Syarikat Sony menjadi sasaran penggodam pada 24 November lalu, diikuti dengan beberapa ugutan, termasuk awal minggu ini yang mencadangkan supaya dilancarkan serangan seperti 11 September.
Biro Penyiasatan Kebangsaan (FBI) mendakwa ia mempunyai bukti Pyongyang menjadi dalang dalam serangan godam itu, walaupun Duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menafikan dakwaan tersebut.
Beberapa jam selepas kejadian itu, Obama pada satu sidang media di Washington menuduh Sony Pictures tunduk terhadap ancaman itu sehingga mengambil keputusan membatalkan tayangan filem itu pada Krismas ini.
Obama memberi amaran kepada Korea Utara akan berhadapan de­ngan tindakan balas berikutan serangan penggodam ke atas studio itu.
“Kami tidak akan mengalah, kami cuma bertahan dan kami kami tidak akan berundur,” kata Lynton kepada Stesen televisyen kabel, CNN, sejurus selepas Obama mengecam keputuan Sony membatalkan penayangan filem komedi itu.
Sony dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat tinjauan untuk membolehkan pihaknya menayangkan kembali filem tersebut menggunakan platform yang berbeza.
Filem itu antara lain mengisahkan dua wartawan penyiaran, dilakonkan Seth Rogen dan James Franco yang perlu bekerjasama dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membunuh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un. – AFP