Wednesday, January 14, 2015

Barat hipokrit – Erdogan


ERDOGAN (kanan) berjabat tangan dengan Mahmoud Abbas pada satu sidang akhbar di Istana Presiden di Ankara. - AFP


ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin menuduh Barat bersikap hipokrit berhubung serangan ke atas akhbar satira Charlie Hebdo dan drama tebusan di sebuah pasar raya Yahudi di Paris sedangkan blok berkenaan gagal mengecam tindakan anti-Islam di Eropah.
Bercakap di sisi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di ibu kota Turki di sini, Erdogan turut menyelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana menghadiri perarakan perpaduan di Perancis bersama barisan pemimpin dunia lain selepas serangan di Paris pada Rabu lalu.
“Bagaimana seorang lelaki yang membunuh 2,500 orang di Gaza dan mengamalkan negara pengganas boleh melambaikan tangannya di Paris seperti orang ramai menunggu untuknya berbuat demikian? Berani dia pergi ke sana (Paris)?,” kata Erdogan.
“Kamu patut memberi penerangan mengenai kanak-kanak dan wanita yang kamu bunuh,” tambahnya.
Erdogan lantang mengkritik serangan Israel terhadap pentadbiran Hamas di Genting Gaza walaupun Ankara memiliki hubungan dagang yang baik dengan rejim Zionis.
Beliau tidak menghadiri perarakan pada Ahad lalu tetapi majlis tersebut disertai oleh Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu.
“Sikap hipokrit Barat adalah jelas. Sebagai orang Islam, kami tidak pernah mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pengganas. Di sebaliknya, wujud rasisme, kata-kata kebencian dan ketakutan terhadap Islam,” ujar Erdogan.
“Ada pihak sedang mempermainkan dunia Islam, kita perlu menyedari perkara ini,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Erdogan memberitahu bahawa siri serangan yang meragut 17 nyawa itu membayangkan kegagalan pasukan keselamatan Perancis kerana semua suspek tersebut pernah dipenjarakan sebelum ini.
“Rakyat Perancis melakukan pembunuhan beramai-ramai itu dan orang Islam membayar harganya. Tidakkah agensi perisikan mereka mengawasi banduan yang keluar dari penjara,” ujarnya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3OkOeYF2u 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment