Lassana Bathily (tengah) mempamerkan sijil pengenalan dirinya selepas diberi status kerakyatan Perancis pada satu majlis di Paris, kelmarin. – AFP
PARIS 21 Jan. – Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazenueve menyifatkan keberanian pendatang Islam, Lassana Bathily yang mengambil risiko untuk menyelamatkan nyawa tebusan dalam satu kejadian keganasan di Paris, baru-baru ini sebagai simbol kehebatan agama Islam yang mementingkan keharmonian dan tolak-ansur.
Bathily, 24, yang berasal dari Mali berasa bangga dan terharu selepas tindakannya menyelamatkan enam orang tebusan itu diberi penghormatan dengan diberi anugerah status kerakyatan Perancis yang diterima daripada Perdana Menteri, Manuel Valls pada satu majlis yang disiarkan secara langsung di televisyen seluruh Perancis.
Tambahnya, dia tidak melihat dirinya sebagai wira, sebaliknya hanya akan terus menjadi diri sendiri.
“Semua orang adalah sama dan perbezaan warna kulit bukanlah satu isu bagi saya. Perancis adalah negara yang mendukung hak asasi manusia,” katanya yang dipetik portal, Mail Online.
Bathily menetap di Perancis sejak 2006 dan pernah memohon status kerakyatan beberapa kali sebelum ini, namun tidak berjaya.
Dalam kejadian ganas yang berlaku pada 9 Januari lalu, seorang lelaki bersenjata, Amedy Coulibaly memasuki Pasar Raya Hyper Cacher di Porte de Vincennes, Paris, dan membunuh empat orang.
Bathily yang bekerja di pasar raya itu kemudian membawa para pelanggan memasuki peti ais besar di tingkat bawah premis berkenaan supaya mereka dapat berlindung dalamnya.
Dalam pada itu, Dewan Bandar Raya Paris merancang untuk menyaman agensi berita Amerika Syarikat (AS), Fox News ekoran laporan yang mendakwa terdapat beberapa lokasi di ibu negara Perancis itu yang digelar sebagai ‘zon larangan’ kerana dihuni majoriti penduduk Islam.
Laporan Fox News menyebut, polis serta penduduk bukan Islam dilarang memasuki zon berkenaan kerana bimbang keselamatan mereka terancam.
Laporan yang dipaparkan susulan serangan ganas di ibu pejabat akhbar, Charlie Hebdo di Paris dua minggu lalu mendapat kritikan dan Fox News digesa mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka selepas mendakwa beberapa kawasan di Paris dan Birmingham di England dikendalikan di bawah undang-undang syariah.
“Satu aduan akan difailkan dalam masa beberapa hari walaupun kenyataan maaf daripada Fox News telah dikeluarkan pada Sabtu lalu,” jelas sumber dewan bandar raya.
No comments:
Post a Comment