Thursday, January 22, 2015

Nenek sertai latihan ketenteraan


22 Januari 2015 12:31 AM



LVIV, Ukraine 21 Jan. – Seorang nenek berusia 68 tahun diberikan gelaran ‘The Punisher’, selepas berjaya menamatkan latihan ketenteraan di negara ini bersama anggota tentera kadet yang empat dekad lebih muda daripadanya.
Portal Mail Online melaporkan, Ekaterina Bilyik dari bandar Zhidaev, barat Ukraine, kini bersedia untuk menyertai pertempuran yang berlaku timur negara ini.
Rakaman video yang dirakamkan di kem latihan tentera menunjukkan pesara itu berguling di kawasan padang yang diselaputi salji, melakukan aktiviti lompatan, dan menjalani latihan tembakan bersama kumpulan anggota tentera muda.
Bilyik yang mempunyai lima orang cucu berkata, dia mengambil keputusan untuk menyertai latihan ketenteraan selepas menyaksikan pertempuran ganas antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur negara ini.
“Saya mahu menjadi contoh kepada generasi muda. Umur bukan penghalang untuk kita membuat sesuatu perkara, sebab itu saya membuat keputusan untuk menyertai latihan ketenteraan ini,” ujar Bilyik yang juga ibu kepada tiga orang anak.
Sementara itu, jurucakap tentera, Nataliya IShenko mengesahkan warga emas itu mengambil bahagian sama seperti latihan yang diberikan kepada pelatih lain yang kebanyakannya lebih muda 40 tahun daripadanya.
Malah, wanita berani itu lulus kesemua ujian dan boleh menembak menggunakan senjata api dengan tepat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nenek-sertai-latihan-ketenteraan-1.50729#sthash.QjP1X08i.dpuf

No comments:

Post a Comment