Gambar bertarikh 16 Januari lalu merakamkan sebahagian penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan karikatur Nabi Muhammad oleh akhbar Perancis, Charlie Hebdo di Kompleks al-Aqsa, Baitulmaqdis. – REUTERS
DOHA 21 Jan. – Sebuah pertubuhan Islam terkemuka yang beroperasi di Qatar, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengharamkan sentimen yang menyemarakkan kebencian agama dan mendesak negara Barat agar melindungi masyarakat Islam ekoran serangan di Paris pada awal bulan ini.
Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Islam yang diketuai oleh ulama terkenal, Yusuf al-Qardawi, dalam kenyataannya berkata, umat Islam di seluruh dunia perlu meneruskan bantahan terhadap akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, jelas pertubuhan tersebut, bantahan perlu diadakan secara aman dan jangan sesekali melakukan keganasan, merujuk kepada rusuhan ganas di Niger yang mengorbankan 10 nyawa.
Kesatuan berkenaan turut mengutuk tindakan Charlie Hebdo menyiarkan kartun kontroversi tersebut yang secara tidak langsung menunjukkan pihak Barat menentang agama Islam dan menambahkan kebencian antara agama.
“Perlindungan perlu diberikan kepada kesucian golongan nabi, agama dan rumah ibadat selain negara-negara Islam wajar bersatu untuk mengemukakan satu draf undang-undang bagi mendesak PBB mengharamkan sentimen yang mencetuskan kebencian antara agama.
“Selain itu, negara Barat juga perlu melindungi umat Islam, tidak kira sama ada mereka merupakan rakyat, penduduk (pendatang asing) atau pelancong,” tambah kenyataan tersebut. – AFP
No comments:
Post a Comment