PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang membuat pusingan U apabila memutuskan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap kepada tiga remaja bertudung yang terbabit dalam kontroversi konsert K-Pop baru-baru ini.
Namun apa yang lebih membimbangkan, jika kontroversi yang berlaku sebelum ini berulang pada satu lagi persembahan luar negara membabitkan artis K-Pop, Taeyang yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Februari depan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata, tindakan itu disifatkan memalukan apabila Jawi mengubah keputusan atau pendirian yang akhirnya memberi kesan buruk kepada mereka sebagai salah sebuah agensi awam yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama di sini.
Beliau berkata, ia juga kelihatan seolah-olah tindakan tersebut tidak cukup matang dan gagal dipertimbangkan sebaik-baiknya.
“Ia hanya akan menyebabkan imej Islam itu tercalar. Kenapa perlu teragak-agak antara nak keluarkan waran tangkap dan tak nak. Apakah sebenarnya pertimbangan Jawi, sama ada untuk mengenakan waran tangkap dan sebaliknya?
“Saya berpandangan bahawa Jawi perlu ke hadapan membawa imej dakwah dan tarbiah (pendidikan) yang sebenarnya dituntut dalam Islam,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Pada Rabu, mStar Online melaporkan menurut sumber Jawi, jabatan itu memutuskan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga remaja yang terbabit dalam kontroversi aksi sumbang di konsert kumpulan K-Pop, B1AF baru-baru ini apabila sehingga ke hari ini kesemua mereka masih belum tampil untuk membantu siasatan.
Minggu lalu, Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dilaporkan sebagai berkata, waran tangkap melalui perintah mahkamah akan dikeluarkan sekiranya ketiga-tiga remaja berkenaan tidak tampil memberikan kerjasama selepas diberi tempoh seminggu.
Amidi berkata, apabila Jawi mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum, ia sepatutnya dilakukan dalam keadaan yang berhati-hati.
“Kenyataan 'menghukum' itu seolah-olah menunjukkan kuasa yang hanya memberikan konotasi negatif dan tindak balas yang tidak baik kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Amidi meminta Jawi atau mana-mana institusi agama membawa imej dakwah dan tarbiah dalam membuat sebarang keputusan terutama yang menyentuh sensistiviti agama, kaum dan masyarakat Malaysia.
“Saya beranggapan remaja yang terbabit di konsert K-Pop sudah mendapat pengajaran berdasarkan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Saya harap insiden yang telah berlaku dijadikan pengajaran.
“Ini termasuk pihak penganjur dan artis itu sendiri supaya menghormati budaya dan masyarakat tempatan. Langkah-langkah pencegahan perlu diteruskan supaya kejadian tidak berulang pada penganjuran acara hiburan pada masa akan datang,” katanya menyentuh persembahan Taeyang nanti.
Kebimbangan terhadap insiden yang sama mungkin berlaku pada konsert Taeyang turut disuarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor sekiranya tiada tindakan proaktif daripada pihak berkuasa.
Beliau menyarankan pihak berkuasa dan penganjur perlu bersama-sama melakukan perbincangan dalam mencari penyelesaikan yang baik dari segi garis panduan.
Katanya, agensi yang meluluskan penganjuran konsert iaitu Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengambil kira garis panduan hiburan dalam Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Masalah di sini adalah kita bukannya anti hiburan tetapi mahu menekankan dari segi cara pelaksanaan itu yang tidak sesuai dengan budaya kita.
“Jakim dan Puspal perlu bersama-sama mencari jalan penyelesaian dari segi garis panduan untuk penganjuran acara hiburan supaya insiden di konsert K-Pop sebelum ini tidak lagi berulang,” katanya.
Tambahnya, syarat penganjuran konsert turut dicadang supaya diperketatkan dan penganjur perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kementerian atau agensi berkaitan yang meluluskan penganjuran konsert ini tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab,” kata Mohd Roslan.
No comments:
Post a Comment