Model-model kenderaan tentera keluaran syarikat China North Industries Corporation (NORINCO) dari China dipamarekan semasa Pameran Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa di Baghdad pada 7 Mac lalu. AFP
STOCKHOLM 16 Mac – China menjadi negara pengeksport senjata ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, sekali gus mengatasi Jerman dan Perancis dalam industri pertahanan, lapor sebuah badan pemikir di Sweden.
Menurut laporan tahunan Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm, jumlah keseluruhan dagangan dunia membabitkan urusniaga senjata bernilai berbilion dolar meningkat sebanyak 16 peratus sepanjang tempoh dari 2010 hingga 2014 berbanding lima tahun sebelumnya.
AS masih mengukuhkan kedudukan sebagai negara pengeksport senjata terbesar dunia berjumlah 31 peratus daripada jumlah urusniaga, disusuli Rusia di tempat kedua berjumlah 27 peratus.
China menguasai sebanyak lima peratus daripada nilai dagangan berjumlah lebih AS$300 bilion (RM1.1 trilion) setahun, sekali gus mengatasi Jerman yang berada di tempat keempat, diekori Perancis di tempat kelima.
Jumlah jualan senjata dari China meningkat sebanyak 143 peratus berbanding lima tahun sebelumnya disebabkan kemunculan syarikat pertahanan seperti Norinco Group yang membuka pasaran di Asia Selatan termasuk menjual drone kepada Nigeria untuk memerangi pengganas Boko Haram.
Ketua penyelidikan institut tersebut, Siemon Wezeman berkata, peningkatan mendadak China itu disebabkan peralatan yang dihasilkan lebih baik berbanding antara 10 hingga 15 tahun lalu.
Pelanggan yang biasa membeli peralatan senjata dari Barat atau Rusia kini beralih memilih senjata dari China yang mempunyai kualiti hampir sama pada harga yang lebih murah.
“Satu perjanjian yang masih belum dimeterai, bernilai AS$4.3 bilion (RM16 bilion) membabitkan penjualan sistem pertahanan peluru berpandu kepada Turki, menunjukkan pembuat senjata China mempelopori perniagaan di luar pasaran, sekali gus mencabar pasaran Barat.
“Pakistan, Bangladesh dan Myanmar merupakan pelanggan setia China yang menguasai dua pertiga dagangan senjata dari China, manakala Afrika merupakan pasaran utama selain 18 negara lain yang terlibat dalam dagangan senjata dengan Beijing,” katanya.
Firma senjata China juga semakin kerap menyertai pameran senjata peringkat global bagi mempamerkan keupayaan senjata mereka termasuk menyertai pameran Idec di Abu Dhabi pada bulan lalu. – AFP
No comments:
Post a Comment