Tuesday, March 17, 2015

Putin sedia guna senjata nuklear


17 Mac 2015 1:27 AM




MOSCOW 16 Mac – Rusia sedia meletakkan kekuatan senjata nuklearnya dalam keadaan berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan wilayah autonomi Crimea yang berpisah daripada Ukraine sejak setahun lalu, kata Presiden Vladimir Putin.
Putin berkata, Rusia telah menyelamatkan nyawa bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovich yang berdepan ancaman akibat ‘revolusi’ rampasan kuasa ekoran tunjuk perasaan ganas di Kiev pada tahun lalu, lapor Al Jazeera.
Penggulingan Yanukovich menyebabkan Rusia campur tangan dalam krisis politik di Ukraine, sekali gus menjadi sebab utama wilayah Crimea berpisah daripada Kiev.
Menurut Putin, beliau mengarahkan tentera Rusia bersiap sedia apabila mengetahui rancangan Crimea untuk keluar dari Ukraine.
“Malah Moscow bersedia dengan kekuatan nuklear untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” kata Putin apabila ditanya tentang persediaan tenteranya menggunakan senjata nuklear.
Putin menjelaskan beliau tidak mengarahkan langkah persediaan itu bagi mendapatkan semula Crimea sehinggalah selepas berlaku ‘rampasan kuasa’ bagi menyingkirkan Yanukovich.
Tambah beliau, tindakan berjaga-jaga itu juga diambil bagi mengekang keganasan di Crimea seperti yang terjadi di timur Ukraine.
Dalam perkembangan lain, Putin mengarahkan pasukan tentera laut Rusia dan unit payung terjun berada dalam keadaan berjaga-jaga sebagai sebahagian latihan ketenteraan.
Menurut laporan agensi berita tempatan RIA, latihan itu melibatkan Armada Utara Tentera Laut dengan kekuatan hampir 40,000 askar, 41 buah kapal perang dan 15 buah kapal selam.
Menteri Pertahanan Sergei Shoigu dalam pada itu berkata, latihan itu dijalankan kerana Rusia berdepan ancaman baharu terhadap keselamatan negara dan perlu menguji kekuatan dan keupayaan tentera.
“Cabaran dan ancaman baharu terhadap keselamatan ketenteraan perlu ditangani oleh pasukan keselamatan dengan berkesan.
“Tumpuan khusus perlu diberikan bagi memastikan strategi yang baik mampu dilaksanakan oleh pihak tentera,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/putin-sedia-guna-senjata-nuklear-1.70266#sthash.4SJa1Dxa.dpuf

No comments:

Post a Comment