Tuesday, March 17, 2015

Sultan Kelantan sokong laksana hukum hudud



SULTAN MUHAMMAD V (dua dari kiri) berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat Batalion 8 Pasukan Gerakan Am Pengkalan Chepa sempena majlis Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Sidang DUN Kelantan Ke-13 di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan sokongan baginda terhadap hasrat kerajaan Pas Kelantan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini.
Di samping mendoakan kejayaan pelaksanaan undang-undang Islam itu, baginda turut melahirkan harapan agar inisiatif yang diusahakan sejak sekian lama oleh kerajaan negeri mendapat soko­ngan semua pihak.
“Beta difahamkan bahawa kerajaan negeri berhasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76(A)(1) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.
“Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak, Insya-Allah,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.
Mengiringi baginda ke istiadat tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 diluluskan DUN Kelantan lebih 20 tahun lalu namun ia dibentangkan semula berikutan terdapat beberapa pindaan melibatkan orang bukan Islam serta hukuman ke atas kesalahan zina dan liwat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3Ub4LZ6RN 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment