Sunday, July 12, 2015

Bank Negara Nafi Pegawai Bocor Maklumat Sulit


Diterbitkan: Ahad, 12 Julai 2015 5:26 PM
bank negara

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan dakwaan mengenai pegawainya membocorkan maklumat sulit kepada media berhubung isu dakwaan penyaluran sejumlah besar dana ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
BNM dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, ia mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pegawai membocorkan maklumat kepada media dan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
"Dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Dalam hal ini, Bank Negara telah membuat laporan polis.
"Pihak Bank akan meneruskan usaha untuk mendedahkan kebenaran dengan cara yang adil dan saksama," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu, pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa tiga pegawai kanan BNM kini sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada Wall Street Journal.
BNM menegaskan bahawa demi menunaikan tanggungjawab, ia tidak akan bersekutu dengan mana-mana pihak dan tidak akan mengkhianati kepercayaan awam.
"Pihak Bank turut akan menyiasat sebarang pelanggaran undang-undang di bawah kawal selianya," katanya sambil menambah bahawa ia yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Petugas Khas akan terus komited mencapai objektif pasukan itu.
"Dalam usaha ini, Bank Negara mendapat sokongan penuh daripada Pasukan Petugas Khas," katanya.
Pada 3 Julai lalu, media antarabangsa, Wall Street Journal mendakwa dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.
Pada 4 Julai lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pasukan Petugas Khas itu dianggotai Abdul Gani, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

No comments:

Post a Comment