Sunday, July 12, 2015

Pasangan panda gergasi gagal mengawan


PANDA jantan, Xing Xing, menikmati buluh di Pusat Konservasi Ginat Panda, Zoo Negara. - Foto Salhani Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang gagal dalam proses mengawan untuk kali kedua, selepas setahun ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC).
Pengarah Zoologi dan Veterinar GPCC Dr Mat Naim Ramli berkata, pihaknya akan melatih panda jantan, Xing Xing untuk 'menerima' panda betina Liang Liang bagi cubaan mengawan seterusnya pada tahun hadapan.
"Oleh kerana pasangan panda hanya akan melalui proses pengawanan sekali sahaja dalam setahun dari April hingga Mei, kami akan mula membuat persiapan dengan memerhati gerak-geri pasangan panda itu pada Mac tahun depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sepasang panda gergasi dari Chengdu, China itu dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi dan tiba di Malaysia pada 21 Mei tahun lepas.
Program perjanjian antara Malaysia dan China itu ditandatangani pada 2012 dan menerusinya, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi berkaitan panda gergasi selain membangun serta melatih kepakaran tempatan, bagi tempoh 10 tahun.
Beliau berkata, cubaan proses pengawanan pertama ialah pada 21 Mei hingga 27 Mei tahun lepas, iaitu ketika proses kuarantin selepas pendaratan pasangan panda itu di Malaysia dari China.

PANDA betina Liang Liang menikmati buluh betung di Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara. - Foto BERNAMA
Katanya, pihaknya mula mengesan keadaan panda betina, Liang Liang yang menunjukkan tanda-tanda ingin mengawan buat kali kedua pada awal April lepas.
"Selepas itu, kami cuba untuk meletakkan pasangan panda itu untuk proses mengawan selama 10 hari sejak 28 April hingga 7 Mei bermula 9 pagi hingga 10.30 pagi sebelum dilepaskan untuk pameran.
"Dalam tempoh 10 hari itu, pasangan panda itu mengalami beberapa kali proses untuk mengawan namun tidak berjaya," katanya.
Dr Mat Naim berkata, Xing Xing dilihat tidak mahu menerima kehadiran Liang Liang.
"Hal ini kerana Xing Xing tiada pengalaman dan cuba mengelak ketika proses itu berbanding dengan Liang Liang yang sudah berpengalaman dan pernah melahirkan anak panda di China beberapa tahun lalu," katanya.
Dr Mat Naim berkata, berat badan Xing Xing kini adalah 127kg manakala Liang Liang pula 104kg.
"Kami akan memberi makan sebanyak dua kali kepada haiwan ini setiap hari dan setiap kali sebanyak 30kg buluh, buah buahan dan kek panda akan disuap kepada haiwan ini pada waktu pagi dan petang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Persatuan Zoologi Malaysia Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, berkata pihak Zoo Negara akan mengadakan sambutan 'Hari Jadi Panda' pada 3 September ini.
"Pada hari itu, sesiapa yang lahir pada 23 Ogos dapat masuk ke Zoo Negara dan GPCC secara percuma," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment