Sunday, July 12, 2015

Negeri seribu bencana


Aku digigit gelisah memikirkan bencana dan malapetaka yang menimpa kita akhir-akhir ini. Bisanya berdenyut sehingga aku mengutus pesan kepada beberapa sahabat karib lantas bertanya: “Duhai apakah yang dapat kita lakukan selain berdoa?”

Kita berada dalam hari-hari gelap penuh bencana. Sisi kesenimanan dan kesarjanaanku meronta-ronta untuk aku melakukan sesuatu demi menyelamatkan negeri dari dilanda bencana tetapi aku tidak punya kuasa apa-apa, melainkan fikiran dan tulisan untuk menyeru umat Malaysia agar celik dan berfikir.

Aku ingin supaya bangsa kita Melayu, dan bangsa Malaysia tentunya segera celik dari lena panjang.

Ke hadapan sahabatku yang jauh dan dekat, yang hampir dan rapat. Ke hadapan sekalian teman-teman ilmuan dan sarjana. Ke hadapan kawan-kawan pengarang dan sasterawan.

Aku menulis untuk mengingatkan kalian bahawa dalam tahun 1857 Raja Ali Haji, seorang pendekar, ulama dan ahli falsafah Melayu telah menulis kitab Tsamarat al Muhimmah.

Ulama terkemuka itu mengingatkan kedudukan pemimpin yang bertanggungjawab memelihara agama kerana jika itu tidak dilakukan, maka ia adalah permulaan kepada kerosakan pentadbiran negara, dan kekacauan kestabilan sosial.

Ke hadapan kalian yang aku dambakan kekuatan dan kesepakatan, ketahuilah keadilan sangat ditekankan dalam ajaran agama Islam. Sesungguhnya Islam yang mendarat di alam Melayu bukanlah Islam yang Rasulullah SAW peri tekankan.

Seperti yang telah difirmankan Allah dalam surah al-Nahl ayat 90, terjemahannya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman”.

Kayu ukur peradaban

Wahai mahaguru di universiti, bacalah dan dengarilah akan warkah ini kuutus kerana negeriku dilanda seribu bencana, bahawa keadilan tiada dirasa umat dan pengikut bangsa.

Salah sebuah karya sastera yang kubaca di Arkib Negara cawangan Terengganu jelas menyebut tentang keadilan pemimpin.

Tulis Syeikh Duyung dalam 'Kitab Nasihat Raja-raja': “Raja yang sejahat-jahat raja itu iaitulah raja yang menukarkan agamanya dengan dunia dirinya”. Tentu kata ‘raja’ itu dapat ditukarkan kepada gelar yang lebih moden berdasar politik semasa.

Ingatan keras lain datangnya daripada penulis kitab 'Safinat al Hukkam' yang menyelar pemimpin yang berkuasa dan menurut hawa nafsunya. Yakni jenis pemimpin yang tiada ilmu dan buta arah tuju.

Pemimpin ini akan terlajak laris melakukan korupsi sehingga akal menjadi bantut lagi buntu, tulis beliau: “Kerana jikalau tiada ilmu serta perintah maka binasa yang diperintahkan itu terlebih banyak daripada baiknya. Dari kerana tatkala itu mengaranglah hawa nafsu kepada segala kehendaknya seperti mengarang gajah liar dalam hutan.

"Dan kaedah yang kedua itu mengambil hawa nafsu kerana betul bicara dan tersalahnya daripadanya jua datangnya. Maka apabila kuat cita fikirnya, maka adalah alamat keras sultan bicara dalamnya dan hinalah hawa itu.

"Dan apabila daif cita fikirnya, maka alamatnya mengeras hawa itu atas nafsu, maka tertutuplah akal dalamnya dan tersalahlah bicaranya. Dan tatkala itu tiadalah ia dapat menghukumkan orang yang lainnya.”

Cinta sempurna lwn cita bencana

Duhai teman-teman sarjana dan ilmuan, marilah kita merenung apa yang pernah dinukilkan oleh alMarhum Syed Hussein Alatas, ahli falsafah besar bangsa Malaysia. Almarhum pernah menggagaskan kerangka cita bencana iaitu kebalikan kepada cita sempurna.

Ia adalah satu parameter untuk peradaban untuk mengukur apakah negeri kita sejahtera atau memang duduk dalam malapetaka. Syed Hussein Alatas di dalam karyanya 'Cita Sempurna Warisan Sejarah' itu menyatakan cita sempurna adalah “satu pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna”.

Cita sempurna pada asasnya lahir dari rasa percaya beliau bahawa semangat mencapai kejayaan dan kekuasaan merupakan faktor penggerak yang utama dalam sejarah.

Alatas seterusnya menjelaskan, untuk memahami cita sempurna adalah penting terlebih dahulu memahami landasan nilai dan gerakan emosi yang bertindak sebagai elemen dasarnya.

Landasan nilai dan gerakan emosi merupakan elemen yang bersifat universal dan tidak relatif. Dalam hal ini beliau meletakkan contoh sistem perhambaan.

Di dalam sebuah masyarakat di mana sistem perhambaan telah diterima dan mengakar, akan tetap sahaja muncul dari kalangan ahli masyarakat tersebut yang menolak kezaliman dan menentang perbuatan zalim ke atas hamba atas dasar kemanusiaan.

Perbuatan penentangan tersebut ialah contoh landasan nilai dan gerakan emosi yang mendasari cita sempurna. Akan tetapi apakah kita, bangsa kita sudah terlepas dari perhambaan dan benar-benar menghirup udara kemerdekaan?

Duhai ilmuan dan sasterawan bangsa Malaysia, Alatas menghuraikan cita sempurna sebagai sebuah sistem masyarakat yang mana ia mestilah disusun di atas nilai-nilai kemanusiaan.

Ya, manusia pertama. Nilai-nilai kemanusiaan ini telah pun didapati dari hak-hak asasi manusia yang diperjuangkan ketika Revolusi Perancis.

Kebangkitan kesedaran rakyat

Cita sempurna adalah selari dengan tujuan kedatangan Islam, dan merupakan anjuran dan ajaran sebenar Nabi Muhammad SAW dalam usaha melaksanakan keadilan sosial dalam masyarakat. Ya, seperti yang telahku hadapkan dengan ayat suci al-Quran lebih awal.

Alatas menyebut cita sempurna itu “..memandu perjalanan hidup manusia dan masyarakat, termasuk budayanya, agamanya serta usaha untuk merubah keadaan”. Oleh sebab itu Alatas menegaskan bahawa seluruh kemanusiaan telah dicipta atas dasar ‘fitratallah’.

Ini bermaksud bahawa dasar ini luas dan tidak khusus terhadap orang Islam sahaja malahan ia turut meliputi ke atas orang bukan Islam.

Syed Hussein Alatas mengakui bahawa cita sempurna tidak dapat dicapai sepenuhnya namun, dalam zaman dan keadaan tertentu tingkat pencapaian masyarakat sangat dipengaruhi oleh sifat golongan berkuasa walau dalam mana-mana amalan sistem sekalipun.

Wahai sahabatku, izinkan aku menjelaskan yang bahagian penting dari kerangka yang diperkenalkan beliau adalah apabila Syed Hussein Alatas menyatakan pengaruh cita sempurna dapat dihidupkan dengan cara membangkitkan kesedaran rakyat tentang tujuan dan peranannya secara besar-besaran.

Rakyat yang sedar dan tahu akan tujuan dan peranannya akan dapat mempengaruhi tindakan golongan penguasa dan berupaya mencegah golongan tersebut daripada melakukan penindasan dan bertindak zalim ke atas mana-mana golongan masyarakat.

Dalam erti kata lain, masyarakat yang benar dan sedar adalah masyarakat yang menolak korupsi dan memberi reaksi keras terhadapnya. Apakah kita duduk bersila dalam bencana rasuah itu atau kita ada tekad merubah keadaan?

Wahai teman, apakah cita bencana? Syed Hussein Alatas mendefinisikan cita bencana sebagai “semua yang bertentangan daripada cita sempurna”.

Beliau membahagikan cita bencana kepada tiga bahagian iaitu yang berkaitan dengan pertama, jenayah; kedua, penyalahgunaan dadah, gila judi atau ketagihan alkohol dan; ketiga, nilai institusi dan kepercayaan masyarakat yang tidak melawan kebobrokan ini.

Pemimpin jadong

Hal ketiga inilah yang sangat menakutkanku, yang sangat lama membuncah dalam kotak fikirku. Jika masyarakat tidak melawan maka inilah kebobrokan menjadi kebodohan dan kebencanaan. Apakah kita wahai ilmuan dan sasterawan dapat lakukan?

Aku ingin mengingatkan kalian perihal istilah ‘pemimpin jadong’ yang diperkenalkan almarhum. ‘Jadong’ adalah singkatan dari sifat jahat, bodoh dan sombong. Ia merupakan istilah yang digunapakai oleh Syed Hussein Alatas untuk merujuk kepada golongan berkuasa yang melakukan pencerobohan ke atas cita sempurna.

Beliau turut mendefinisikan sifat-sifat tersebut yang mana kata bodoh dalam konteks ‘jadong’ bukan bermaksud tolol tetapi tidak tahu menggunakan daya fikir dan penuh dengan tipu muslihat.

Dalam huraiannya, kata bodoh itu dibahagikan kepada tiga perkara iaitu, pertama; tidak bijak mencapai matlamat jangka panjang sebagai punca pencapaian ataupun istilah sekarang Key Performance Indicators (KPI); kedua, ‘pemimpin jadong’ tidak tahu mengendalikan perasaan dan seterusnya; ketiga, mereka tidak menolak bahkan menerima pengaruh cita bencana.

Tingkah laku ‘bodoh sombong’ pemimpin jadong ini membuatkan mereka dibenci oleh kebanyakan rakyat. Manakala kata jahat dalam ‘jadong’ diungkapkan oleh Alatas sebagai pengamal korupsi; “mengamalkan dan mencanang rasuah dalam bentuk polisi-polisi tertentu”.

Dalam sejarah Islam, beliau mengambil contoh Hajjaj bin Yusuf sebagai tokoh pemimpin jadong manakala dalam sejarah Eropah ialah Henry VIII, Raja Inggeris (1491-1547).

Temanku kasih, Syed Hussein Alatas juga telah menggariskan sifat penguasa yang adil iaitu dalam konteks ini, corak pemerintahan mereka hendaklah selari dengan hak asasi manusia:
  • Murah hati, mementingkan keperluan rakyat dan kesejahteraannya
  • Tinggi semangat bekerja dan keazaman untuk mencapai sesuatu
  • Mengelakkan diri daripada hidup mewah dan runtuh akhlak
  • Menghormati kedaulatan hukum walaupun dirinya atau keluarganya yang terlibat
  • Menghargai ahli-ahli ilmu pengetahuan dan ilmu seluruhnya,
  • Tinggi kesatriaan dan hormat diri, yakni kemurnian
  • Kekuasaannya tertakluk pada tujuan cita sempurna
  • Peribadinya tidak tercemar oleh kekuasaan dalam keadaan di mana pemimpin ini mengambil keputusan yang diketahui hanya oleh dirinya sendiri bahawa keputusan itu adil atau tidak walaupun zahirnya baik tetapi niatnya lain.
Jadi bagaimana, apakah kita memiliki seumpama yang telah disebutkan alMarhum di atas? Duhai teman, apakah yang dapat kita lakukan tatkala negeri sedang dilanda bencana dan berada dalam bukat kegelitaan seperti hari ini?

Apakah kita berdiam diri dan memeluk tubuh atau nyaris membiar diri kita di jurang petaka? Mungkinkah kita mengambil langkah tekad dan berani di tengah simpang sejarah bangsa dan umat yang sedang berdepan dengan tipu daya dan bencana kepimpinan seperti ini?

No comments:

Post a Comment