Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untuk situasi sekarang, lebih adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan dahulu identiti penderma wang yang di dalam akaun peribadinya itu.
 
"Kita tak ada masalah untuk isytihar. Bahkan setiap kali derma kita isytihar terus. Parti kita telus.
 
"Untuk lebih adil, perdana menteri juga kena beritahu sekarang siapa penderma itu. Jadi, sebelum kita minta pembangkang. Kerajaan mesti tunjuk contoh," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan parti itu, semalam.
 
Sebelum ini Najib dilaporkan mencadangan agar diwujudkan semula peraturan yang mengehendaki parti politik mendedahkan senarai sumber dana politik yang diterima mereka.
 
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mendedahkan perbelanjaan sebenar setiap parti politik di negara ini.
 
"Kita tengok setiap kali pilihan raya, BN berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
 
"Kita harap SPR mesti telus untuk membongkar dan mendedahkan berapa perbelanjaan setiap parti politik dalam pilihan raya," katanya.