Sunday, August 9, 2015

Calon pilihan raya wajib ada tandas


Patna: Pihak berkuasa Bihar, negeri di timur India, mewajibkan calon yang bertanding dalam pilihan raya peringkat desa memiliki tandas di rumah masing-masing.

Ia sebahagian usaha untuk meningkatkan sistem kebersihan dan kesihatan negeri itu.

Dewan Undangan Negeri Bihar meluluskan undang-undang berkenaan Rabu lalu.

Menurutnya, calon yang bertanding perlu mengesahkan mereka memiliki tandas di rumah sebelum boleh bertanding pada pilihan raya 2016.

“Matlamat kami ialah meningkatkan kebersihan dari peringkat bawah dan mengakhiri perbuatan membuang air besar di tempat terbuka yang menjadi punca pelbagai penyakit,” kata Menteri Pengurusan Desa Bihar, Binod Prasad Yadav.

Hampir sepertiga daripada 1.2 bilion penduduk India tidak mempunyai akses kepada tandas dan lebih 186,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati setiap tahun akibat penyakit yang berpunca daripada air tercemar dan pembuangan najis sesuka hati.

Kerajaan Pusat diketuai Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menjadikan pembinaan tandas satu keutamaan.

Modi berikrar memastikan setiap rumah memiliki tandas menjelang 2019.

Bihar yang ditadbir Parti Janata Dal Bersatu ialah negeri kedua meluluskan undang-undang itu menjelang pilihan raya peringkat desa dan daerah tahun depan, selepas Gujarat.

“Dengan jumlah calon yang ramai, langkah itu akan menyaksikan pembinaan begitu banyak tandas. Ia memberi kesan positif kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:29 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69065#sthash.Ta3cw8lW.dpuf

No comments:

Post a Comment